MP Pandan rasa lucu dengan cabaran Pemuda Pas yang tidak berasas dan menyimpang

KUALA LUMPUR: Bukan tidak mahu bertanding di Parlimen Pandan tetapi tindakan pentadbiran Perdana Menteri yang tidak putus-putus mengheretnya ke mahkamah menyebabkan Rafizi Ramli tidak dapat mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu.

Naib Presiden PKR itu berasa lucu dengan cabaran perwakilan Pemuda Pas dari Selangor, Mohd Sukri Omar supaya beliau ‘berani menjadi anak jantan’ dan bertanding sekali lagi di parlimen berkenaan.

“Saya berasa lucu dengan cabaran itu. Jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.

“Lagi pun, saya adalah wakil pembangkang pertama yang memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar iaitu sekitar 27,000 undi (atau 67 peratus undi popular).

“Malah, kemenangan PRU13 lalu menjadikan saya ahli parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara, jauh meninggalkan sahabat-sahabat dari Pas,” jelasnya.

Turut membandingkan pencapaian pimpinan kanan Pas, Rafizi berkata, undi Melayu yang dimenanginya di peringkat Parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Cempaka iaitu dalam Parlimen Pandan.

“Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi Pas. Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda Pas mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sukri mencabar Rafizi jika pemimpin itu sanggup berdepan dengan gerak gempur yang dilancarkan ahli-ahli Dewan Pemuda Pas selain mendakwa tuduhan Rafizi yang kerap dilemparkan terhadap kepemimpinan parti itu adalah tidak berasas.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan dirinya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang kerana telah dijatuhkan hukuman penjara satu tahun setengah atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Beliau mendedahkan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membayar anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT.

“Malah, saya mengikuti laporan serangan Pemuda Pas terhadap saya dari kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen 8, Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan berhubung pendedahan saya mengenai skandal NFC (Pusat Fidlot Negara) dahulu,” tambah Rafizi lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *