Takziah kepada keluarga Thaqif, Pemuda AMANAH tuntut siasatan menyeluruh

Pemuda AMANAH mengucapkan takziah kepada keluarga adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia petang ini dan menuntut agar siasatan menyeluruh dijalankan ke atas punca kematiannya.

Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional dalam satu kenyataannya selepas menziarahi adik Thaqif ketika menghembuskan nafas terakhir di hospital kesal dengan kejadian.

“Saya berpeluang menziarahi almarhum adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di saat beliau menghembuskan nafas yang terakhir sebentar tadi.

“Pemuda AMANAH merakamkan takziah kepada keluarga adik Thaqif dan kami mendoakan roh adik Thaqif ditempatkan di kalangan solihin,” katanya yang ke hospital bersama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Ketika bercakap dengan bapanya, Mohd Gaddafi yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor, Faiz yang merupakan seorang peguam menawarkan khidmat guaman untuk membantu keluarga itu.

Pemuda AMANAH, katanya, amat menyanjungi semangat adik Thaqif yang mahu mendalami pengajian al-Quran walaupun dalam usia yang masih muda.

“Sungguhpun begitu, Pemuda AMANAH berasa amat kesal di atas pemergian adik Thaqif yang dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat penderaan fizikal oleh kakitangan sekolah tahfiz berkenaan.

“Kami mendesak siasatan menyeluruh dan adil dijalankan agar pihak dan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, Pemuda AMANAH melihat kes-kes penderaan kanak-kanak terutama pelajar sekolah semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal dan seharusnya pihak berkuasa memberikan perhatian serius kepada perkara ini agar insiden yang tidak diingini ini tidak berulang.

“Kita mahu sistem pendidikan diperkasakan dan kasih sayang dan kesedaran menjadi elemen penting mendidik pelajar-pelajar terutama meningkatkan mutu pendidikan dan disiplin.

“Hukuman bukan langkah dan pilihan yang tepat dan bijak. Kanak-kanak dan pelajar-pelajar seharusnya dijauhkan daripada sebarang bentuk hukuman fizikal,” katanya.

Thaqif meninggal dunia jam 2.05 petang tadi akibat komplikasi jantung selepas kecederaan teruk pada kaki dan tangan.

Beliau yang didaftar masuk ke sebuah pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi pada 27 Januari lalu dilaporkan dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas akibat dipukul pembantu warden.

Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.

Susulan itu, seorang pembantu warden direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *