Hindarkan percakapan dan perbuatan sia-sia, liarkan bacaan, elak taklid buta syok sendiri

Tong kosong berbunyi kuat daripada tong berisi. Begitulah manusia. Manusia yang penuh ilmu di dadanya akan mengelak percakapan dan perbuatan sia-sia. Peribahasa itu cukup kuat menusuk ke dalam sanubari saya.

Maka, saya cuba mengubah diri – membaca semakin banyak buku, dari buku falsafah yang kadang–kadang membuatkan kepala pening dengan istilah dan buku agama yang mengajar prinsip cara kehidupan beragama.

Dari Teori Keadilan ke Falsafah Hidup, dari Marx ke Hayek. Dari bahasa ibunda ke bahasa penjajah. Semuanya harus diteroka dan dipelajari. Apa gunanya membaca? Zaman mahasiswa sudah berlalu dan sekarang menempuh alam pekerjaan. Perlukah membaca?

Ini antara pertanyaan yang bermain di minda. Tetapi aktiviti itu tetap diteruskan kerana hendak mengubah diri dan mengubah masyarakat. Jumlah buku yang dibaca semakin bertambah tapi nampaknya keilmuan sahaja yang tidak bertambah. Mengapa?

Fenomena buku jalanan semakin tersebar di Malaysia dan kebanyakan penggeraknya adalah mahasiswa dan golongan muda. Fenomena itu semakin trending dalam kalangan anak muda sekarang. Kalau zaman dahulu, mahasiswa berasa malu membimbit buku ke mana-mana kerana takut digelar ‘ulat buku’ tetapi jika mahasiswa sekarang digelar sebegitu, semacam kebanggaan pada mereka.

Cuba kita fikirkan apakah ulat buku. Ulat yang hanya memakan buku. Apa manfaatnya? Tiada tapi hanya mengenyangkan perut sendiri. Beginikah matlamat kita dalam membaca buku? Cukup sekadar mengenyangkan minda?

Budaya membaca yang semakin tersebar di Malaysia sesuatu yang bagus untuk membentuk keintelektualan masyarakat tetapi sikap kita yang sekadar syok sendiri dengan ilmu yang diperoleh dari buku, menyebabkan perkembangan masyarakat tidak terjadi.

Dengan ilmu itu, seharusnya mengubah kita menjadi manusia yang emakin baik tetapi kita kadang kala hanya menjadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai melontar kata-kata tetapi tidak menghayati maksudnya.

Saya teringat kata-kata Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said mengenai pembacaan: “Baca. Baca. Baca. Baca. Menulis”. Beginilah seharusnya. Sehabisnya membaca buku, kita harus menilai dan menulis kembali apa yang kita pelajari dan mentelaah kembali buku itu.

Bukan demi mendapatkan fakta untuk berhujah dengan rakan-rakan lain tetapi untuk memantapkan ilmu di dada. Manusia terbatas dari segi kewangan, masa, pengalaman dan pendidikan. Dengan membaca dan menelaah kembali buku yang telah dibaca, kita dapat memahami dan mengambil secebis ilmu dan pengalaman dari penulisan yang dibaca.

Bahan bacaan anak muda

Sifat anak muda suka memberontak dan semacam menjadi suatu kegilaan bagi anak muda untuk membaca buku-buku yang lari dari keterbiasaan (buku yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau lari dari agama dan ideologi negara). Kalau dulu, kita takut membaca buku bertema agama Syiah, Kriastianiti dan ideologi komunisme.

Akan tetapi dengan langit terbuka akibat ledakan teknologi maklumat, bahan bacaan sebegini semakin mudah didapati. Kalau dulu, kita hanya mengenai Sukarno dan Hatta sebagai tokoh kemerdekaan Indonesia tetapi dengan keterbukaan, Tan Malaka dan Madilognya kita kenali.

Meliarkan bacaan kita tidak salah tetapi mengambil sahaja tanpa menyelidiki falsafah pemikiran tokoh penulis adalah satu taklid buta semata-mata. Semasa membaca buku karangan satu tokoh, kita harus membaca dengan minda terbuka dan menerima kebaikan dan keburukan.

Tiada tokoh sempurna dan tiada fakta yang tidak boleh disanggah. Ilmu manusia tidak sempurna, ibarat seperti air yang melekat pada sebatang jarum yang dicelup ke dalam lautan dengan ilmu Tuhan.

Sebagai anak muda yang bebas pemikirannya, jangan mudah terpengaruh dengan idealisme. Kita harus membaca semuanya dan menilai menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan semata-mata.

Sebagai contoh jika membaca Communist Manifetso (Marx), jangan tinggalkan membaca The Road the Serfdom (Hayek) dan pelbagai lagi bacaan yang saling bertentangan satu sama lain.

SN dan tokoh pemikir

Dalam mengkagumi penulis luar, jangan lupa negara kita juga mempunyai permata. Agak menyedihkan apabila orang luar lebih mengenali mereka lebih dari kita mengenali mereka. Kita hanya mengenali SN Shahnon Ahmad kerana novel Shit dan mengenali A Samad Said kerana Bersih 2.0. Menyedihkan kita tidak dapat membezakan Syed Hussein Alatas dengan Syed Muhammad Naquib Al Attas dan hanya mengenali Ungku Aziz kerana kata-kata motivasi yang terpampang di universiti. Mengenali Za’ba kerana nama kolej kediaman.

Seharusnya kita memperbanyak bacaan karya tokoh hebat itu kerana tulisannya lebih dekat dengan budaya dan bahasa kita sekaligus memudahkan pemahaman maksud dan idea yang hendak mereka sampaikan.

Syarikat percetakan pula hendaklah mengulang cetak kembali penerbitan sebegini kerana yang tinggal kini untuk dibaca cumalah bertaraf buku langka.

Dengan menjadikan karya SN dan penulis lain sebagai teks wajib pembelajaran Komsas adalah langkah bijak tetapi apabila pembelajaran lebih tertumpu kepada mempelajari plot cerita, watak dan perwatakan, gaya bahasa, ia suatu kerugian. Seharusnya pelajar didedah dengan aspek keintelektulan dan diberi ruang bicara untuk melakukan diskusi atau resensi buku.

Dengan itu dapat pengetahui pandanngan pelajar pada hasil karya tersebut. Biarkan pelajar belajar untuk mengkritik, melakonkan, mentafsir hasil karya berkenaan. Jangan penjarakan mereka dengan istilah sastera ataupun jalan penceritaan.

Industri buku Malaysia

Menjadi kerugian pada industri buku Malaysia apabila genre romantik cinta lebih menjadi kegilaan berbanding bacaan bersifat ilmiah. Walaupun ia gejala kurang sihat tetapi dari satu sudut lain, rakyat Malaysia masih lagi membaca sekaligus ia perkembangan baik.

Kita bernasib baik yang kita berkongsi bahasa dengan Indonesia walaupun ada sedikit perbezaan dan ia mendorong kebanjiran buku dari seberang ke pasaran Malaysia. Industri buku di sana yang lebih liberal berbanding di Malaysia menyebabkan lebih banyak buku dihasilkan berbanding Malaysia.

Golongan pembaca buku haruslah mencabar diri sendiri dan jangan sekadar menjadi golongan pembaca. Tiada gunanya membaca berbagai-bagai buku ratusan buah setahun jika tidak melontarkan idea di kertas. Hasilkan karya sama ada artikel, cerpen atau novel.

Umpamanya, jika kita bencikan kebanjiran novel romantik yang berlambak, caranya menyerang balik dengan menghasilkan penulisan yang dapat mengubah fenomena itu.

Dari kita meletakkan sasaran membaca buku puluhan buah setahun, sebaliknya kita cuba menghasilkan sebuah buku setahun. Bukankah ia dapat mencabar pemikiran dan daya usaha kita?

Perpustakaan di Malaysia

Menjenguk perpustakaan, kita dapat melihat lebih ramai golongan pelajar dan kanak-kanak mengunjunginya daripada golongan dewasa. Jikapun ada golongan dewasa, hanya peneman pada anak-anak mereka. Pada hujung minggu, pawagam lebih ramai pengunjungnya dari perpustakaan.

Adakah ia kerana kelemahan pihak perpustakaan atau diri sendiri? Di pihak perpustakaan terutama perpustakaan daerah, koleksinya terhad dan lebih banyak bahan bacaan bersifat novel dari ilmiah. Keluaran terbaru buku di pasaran juga mengambil masa untuk masuk ke perpustakaan, mungkin kerana kekangan bajet dan ruangan terhad.

Perpustakaan universiti pula tidak mesra kepada pengunjung luar. Koleksi buku yang banyak dibiar tersimpan dari dibuka kepada umum untuk dipinjam. Perpustakaan hanya tempat pelajar mengulang kaji kerana suasana aman damai dari menjadi pusat penyebaran ilmu.

Dari pihak kita, pemikiran kolot sering menganggap buku dan perpustakaan sebagai hak milik pelajar. Jarang sekali golongan dewasa meminjam buku di perpustakaan dan menggunakan kemudahan itu sebaiknya.

Antara satu cara untuk menjimatkan perbelanjaan buku bulanan adalah dengan meminjam buku di perpustakaan (Nota: Perbadanan Perpustakaan Selangor memberi kemudahan untuk meminjam buku sehingga 10 naskhah selama tiga minggu).

Jika kita mati pada hari ini, bagaimanakah kita mahu orang mengenang kita. Tinggalkan sedikit hasil tulisan, jangan biarkan nama yang tinggal hanyalah pada batu nisan. Mahu rahsia untuk hidup selamanya, maka menulislah. Jangan sekadar membaca.

>> Komentar bebas Mohd Hasnul Mohd Sani, siswazah di sebuah universiti tempatan dan pernah menang pertandingan menulis Buku Jalanan Jerman.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *