Rakyat meluap-luap marah, tempias inflasi perit dirasai golongan bawahan, harga barangan dapur makin mahal

KUALA LUMPUR: Ada yang cepat-cepat menggeleng kepala. Tidak kurang pula sekadar mencebik dan melempar senyum kelat apabila ditanya tentang situasi harga barang keperluan harian.

Itu reaksi spontan rata-rata pengunjung yang ditemui di Pasar Chow Kit dan Pasar Datuk Keramat, baru-baru ini sebelum mereka menyambung meluahkan isi hati sebenar, lapor Malaysia Dateline yang turun padang melakukan tinjauan.

Ia dibuat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan statistik baru yang mencatatkan kadar inflasi 4.5% bulan lalu (Februari) iaitu kadar paling tinggi dalam masa sembilan tahun.

Tiada seorang pun yang menganggap harga barangan yang dijual pada masa ini berpatutan. Bahkan, penjual di kedua-dua lokasi itu serta dua peniaga nasi campur yang kebetulan ditemui juga memberitahu harga barangan dapur yang melambung turut menjejaskan perniagaan mereka.

Tinjauan di kedua-dua pasar di Kuala Lumpur pada pagi itu mendapati golongan berpendapatan rendah dengan gaji yang tidak banyak bertambah terpaksa untuk menjadi semakin berkira-kira ketika berbelanja di pasar.

Bermula dengan GST

Beberapa pengunjung pula mengakui beban kenaikan mendadak ikan dan sayur-sayuran paling ketara dirasai sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.

Hal tersebut diakui pesara Osman Abdullah, 57, yang ditemui di Pasar Datuk Keramat apabila harga ‘ikan marhaen’ seperti kembung naik melambung selepas GST dikuatkuasakan.

“Duit bawa ke pasar sekarang sudah makin tidak bernilai. Memang terasa (kenaikan harga barangan). Tipulah kalau ada yang menafikan,” kata beliau yang ditemani isterinya.

Peniaga ikan Sabri Mohamad, 42, pula memberitahu kenaikan berganda bahan makanan mentah di pasar berkaitan dengan faktor bekalan daripada pemborong.

“Kalau ikan banyak dan mudah dapat, bolehlah kami jual pada harga yang sepatutnya. Peniaga seperti kami terpaksa letak harga ikut apa yang pemborong dan pembekal jual.

“Bulan lepas misalnya, memang harga ikan lebih mahal daripada hari ini (28 Mac). Akibatnya, margin untung yang kami dapat pun rendah sebab kalau letak harga lebih tinggi, orang ramai akan persoal tak puas hati,” ujarnya.

Ikan kembong sais sederhana di Chow Kit sudah RM16 sekilo. Di pasar lain lagilah mahal, ada yang mencecah RM25 sekilo

Kejatuhan Ringgit

Sabri turut tidak menolak kejatuhan nilai ringgit menjadi antara penyebab harga bahan mentah melambung.

“Barang makin mahal sebab duit kita jatuh dan terus jatuh. Ikan-ikan yang dijual di pasaran sekarang pun banyak import antaranya dari Thailand.

“Jadi, bagaimana tak mahal ikan yang dijual? Akibatnya, orang ramai ambil langkah berjimat. Beli ikan pun yang longgok dalam pinggan,” katanya.

Sementara itu, penjual sayur di Pasar Datuk Keramat, Indra Jaafar, 40, memberitahu harga sayur tempatan lebih mahal berbanding import contohnya seperti kobis bunga.

“Beza RM3. Kalau kobis bunga dari China RM7, yang dari Cameron (Highlands) kami jual dengan harga RM10. Tapi, kobis tempatan lebih sedap.

“Ada juga kobis yang dibawa masuk dari Indonesia,” ujarnya yang telah berniaga di situ sejak tahun 1990-an lagi.

Jelas, rakyat umumnya memang tertekan dengan kenaikan melambung harga bahan makanan dan keperluan dapur. Tiada seorang pun yang menganggap harga barang makanan pada masa ini berbaloi.

Pasar Datuk Keramat

Sementara itu, tinjauan Amanah mendapati harga ikan dan sayuran di Pasar Datuk Keramat umumnya lebih mahal berbanding Chow Kit.

Pada masa sama dilihat rata-rata peniaga di Pasar Datuk Keramat tidak meletakkan tanda harga berbeza dengan penjual di Chow Kit.

Harga sekilogram kobis biasa di Chow Kit contohnya dijual RM2.50 berbanding RM3 di Pasar Datuk Keramat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *