Keputusan yang tidak adil, Noh Omar tunjuk kuasa batal projek, kata AMANAH Wilayah

KUALA LUMPUR: Dr Hatta Ramli mengambil peluang Konvensyen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Ahad lalu untuk membidas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang mengarahkan pembatalan projek kemudahan asas di kawasan-kawasan dikuasai pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan berkata, tindakan itu satu arahan yang amat tidak adil dan cubaan menunjukkan kuasanya sebagai menteri.

“Tidak gilakah (arahan seumpama itu)? Tetapi memang kita tahu BN sudah gila, jika tidak (ahli) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan keluar daripada BN.

“Dengan sikap menteri yang ingin menunjuk kuasa seperti ini, rakyat memerhati kezaliman BN. Akhirnya memudahkan mereka membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang,” kata beliau.

Arahan itu didedahkan dikeluarkan menerusi surat bertarikh 17 Mac, dikeluarkan kementerian itu yang mengarahkan pembatalan semua projek BP1 bagi 2017. Projek prasarana BP1 merujuk projek infrastruktur berskala kecil seperti membina parit dan longkang, menaik taraf jalan serta memasang lampu jalan.

Pada 20 April lalu, Oriental Daily memetik Noh sebagai berkata, pihaknya hanya boleh memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan Parlimen BN disebabkan peruntukan dan sumber terhad dalam kementeriannya.

Hatta berkata, ia merupakan pengakuan jujur Noh bahawa kerajaan memang tidak dapat lagi memberikan peruntukan kerana wang yang terhad.

“Maknanya pembentangan belanjawan yang menyatakan negara ada pendapatan yang banyak dengan Keluaran Dalam Negara Kasar yang tinggi, semua ini mengarut.

“Ia pengakuan jujur kerajaan tiada duit dan tidak dapat meneruskan program,” katanya.

Dipetik Bernama pada 20 April lalu, Noh bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan projek di kawasan pembangkang tetap dijalankan, tetapi wakil rakyat pembangkang yang tidak memohon projek BP1 bagi kawasan masing-masing.

“Untuk projek BP1 hanya wakil rakyat BN dan pihak PBT yang memohon kepada saya. Dan, tidak semua pembangunan projek itu diluluskan,” katanya.

Sebelum ini, PKR menggesa kerajaan memotong gaji Noh kerana membatalkan kelulusan projek kemudahan asas berskala kecil di kawasan pembangkang.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, gaji Noh juga datang daripada pembayar cukai tidak menyokong BN dan beliau tiada hak membatalkan projek untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik mereka.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *