Perak nampak mudah tapi cukup sengit, AMANAH dan Pakatan Harapan perlu lebih bekerja keras

Di atas kertas, usaha untuk mengambil alih kerajaan Perak nampak lebih mudah berbanding negeri-negeri lain. Dalam PRU13, pembangkang hanya dibedakan tiga kerusi Dun; 31 BN dan 28 Pakatan Rakyat. Itulah juga majoriti penguasaan Pakatan semasa menang tanpa diduga pada Mac 2008.

Bagaimanapun kerajaan pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin itu hanya bertahan 11 bulan selepas ditumbangkan secara haram dengan tiga Adun KeADILan dan DAP di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang, mengisytiharkan sokongan kepada BN. Peralihan kerajaan yang menafikan sokongan rakyat itu menimbulkan polemik berpanjangan.

Keputusan pilihan raya Mei 2013 menunjukkan banyak juga kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis, antaranya Lubuk Merbau (53 undi). Manjoi (132), Manong (231), Pasir Panjang (304), Selama (519), Rungkup (613), dan Kamunting (887).

Mood yang konsisten

Tinjauan terkini menggambarkan kecenderungan rakyat di Perak yang bersedia melakukan perubahan dalam PRU14. “Mood ini konsisten sejak 2008, cuma perlukan sikit lonjakan terutama dari pengundi Melayu,” Pengarah Pilihan Raya AMANAH Perak, Badrul Hisham Kadir.

Asmuni Awi, Pengerusi AMANAH Perak

“Keadaan BN lebih lemah berbanding PRU13. Kemenangan BN dahulu mungkin disebabkan peningkatan undi Melayu, namun dengan keadaan ekonomi semakin teruk, penyelewengan yang semakin ketara, isu salah laku PM Najib yang semakin jelas, ditambah tertubuhnya Bersatu akibat perpecahan Umno, saya percaya rakyat khususnya di Perak berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding 2008 untuk mengubah kerajaan,” terangnya.

Persoalan yang sering ditimbulkan pemerhati politik adalah keupayaan Bersatu untuk mempengaruhi masyarakat Melayu khususnya di kampung dan penempatan Felda.

Kedua, mampukah AMANAH mengisi kelompongan yang ditinggalkan Pas? Ketiga, sudahkah dibersihkan tohmahan yang mengaitkan Pas — dan kini AMANAH — sebagai kuda tunggangan DAP, atau secara lebih khusus tuduhan bahawa Nizar, Ketua Pembangkang dalam Dun Perak, juga disifatkan sebagai MB menanti, adalah boneka DAP?

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Salleh mengakui, walaupun sasaran keahlian di setiap kawasan Parlimen belum memuaskan, gerak kerja untuk mendapatkan 50 ahli pada setiap daerah mengundi (DM) berjalan lancar.

“Kita telah berjaya menubuhkan 21 daripada 24 kawasan. Target kita untuk setiap DM sekurang-kurangnya ada satu cawangan. Kita mengatur program dialog berskala kecil untuk beri penerangan di kampung Melayu tradisi,” jelasnya.

Kuda tunggangan

“Isu kuda tunggangan ini boleh dineutralkan dengan bantuan dari pimpinan Bersatu. Dulu mereka terlibat dalam Umno, malah berjawatan tinggi dan sudah tentu penjelasan fakta sebenar dari bekas ahli Umno sendiri akan lebih difahami pengundi Melayu,” tambah Salman. Malah Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Bersatu, berulang kali menepis dakwaan liar terhadap DAP.

Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi dalam satu kenyataannya, yang menyambut baik kerjasama Bersatu dalam grand coalition PH, turut menempelak tohmahan sama: “Bersatu ialah kumpulan nasionalis Melayu tapi mereka juga boleh bekerjasama dengan DAP. Adakah nasionalis Melayu ini juga menjadi kuda tunggangan DAP seperti yang mereka tujukan kepada Amanah sekarang ini?”

Sementara itu, bagi Dr Muhaimin Sulam, Naib Pengerusi AMANAH Negeri, tuduhan menjadi alat DAP bukan perkara baru: “Dulu beban ini digalas Pas. Kini Pas sudah bebas. Perak secara politiknya seperti politik Selangor. DAP memiliki kawasan tradisi yang merangkumi 18 kerusi Dun. Sudah dua PRU, DAP memperolehi kemenangan maksimum. Jika dinilai pada kondisi kini, DAP akan buat hatrik pada PRU14.

“Tapi kemenangan itu tidak menganjak Pakatan Harapan Perak sebagai sebuah kerajaan. Ia tetap sebagai pembangkang. PH Perak tiada pilihan lain selain perlu membuat liberalisasi kerusi tradisi mereka kepada struktur yang lebih seimbang. Namun, ini sangat memerlukan komitmen besar terutama dari DAP.”

Negeri contoh persefahaman pembangkang

Merujuk agihan kerusi, persefahaman di antara parti-parti dalam Pakatan Harapan Perak sentiasa dalam keadaan harmonis. Sejak menubuhkan kerajaan pada 2008, hubungan itu cukup baik dan dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

“Mesyuarat Pakatan diadakan setiap bulan dan itulah kelebihan gabungan pembangkang di Perak sejak sembilan tahun lalu,” kata Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri, Muhammad Faeez Azahar.

Bagaimanapun Faeez mengakui, sambutan AMANAH di Perak belum di tahap yang membanggakan. “Tetapi AMANAH di semua peringkat sudah berjaya untuk bergerak seperti parti yang telah lama. AMANAH telah menggerakkan jentera dan gerak kerja di kerusi Dun yang sebelum ini ditandingi Pas, khususnya yang menjadi sasaran utama,” tambah beliau yang pernah menjadi wartawan Harakah Perak.

Abdul Rahim Nordin (kanan sekali) turun padang bersama pimpinan AMANAH Pusat dan negeri meninjau masalah rakyat.

Walaupun begitu, Naib Ketua Pemuda Negeri, Khairol Najib Hashim, memberi ingatan: “Perlu buang budaya abang long dalam Pakatan Harapan, termasuk di Perak. Setiap parti ada kekuatan tersendiri dan harus saling hormat satu sama lain. Usah mana-mana parti cuba mendominasi pihak yang lain.”

Selaku Setiausaha AMANAH Negeri, Salman menjelaskan, Pakatan Harapan mempunyai sekretariat tetap, yang bukan saja bermesyuarat secara bulanan tetapi menjalankan program bersama.

“Pertemuan yang kerap membabitkan kepimpinan negeri telah mengurangkan perbedaan yang ada di antara setiap parti dan keutamaan diberikan bagaimana membuat perubahan politik di Perak, sekali gus akan menyakinkan rakyat terhadap gabungan ini,” tambah Salman.

Liberalisasi kerusi

Semakan dalam tulahan.blogspot.my menunjukkan cadangan liberalisasi kerusi tradisi telah disambut. Disyorkan 59 kerusi Dun itu dibahagikan sama rata, iaitu 15 kerusi untuk setiap parti komponen PH, kecuali untuk Bersatu 14 Dun.

Blogger itu mencadangkan DAP menyerahkan tiga Dun kepada AMANAH, iaitu Aulong, Kepayang dan Tronoh. Walaupun dipersetujui secara dasar Amanah mengambil alih semua kerusi Pas dahulu, ia wajar menyerahkan lapan Dun (termasuk Lubuk Merbau dan Selama yang kalah tipis) untuk Bersatu dan satu kerusi (Selinsing yang dimiliki Pas) buat KeADILan.

Apa pun, tidak mudah untuk mana-mana parti menyerahkan kerusi yang telah dimenangi, apatah lagi dalam dua kali pilihan raya berturut-turut. Sementalahan pula menjadi persefahaman tidak bertulis bahawa kerusi inkumben tidak akan diusik dan menjadi milik penyandangnya.

Pengarah Pilihan Raya AMANAH Perak, Badrul Hisham Kadir sempat mengingatkan, matlamat utama adalah menjatuhkan BN serta menubuhkan kerajaan negeri yang baru dan ia menjadi faktor utama untuk menentukan parti yang sesuai diletakkan bertanding di satu-satu tempat.

“Itulah kunci utama dalam perundingan kerusi. AMANAH selalu ingatkan teman-teman dalam PH agar tidak ulangi kesilapan lalu dari segi agihan kerusi yang akhirnya tidak bawa keuntungan kepada PH keseluruhannya,” tambah beliau.

Terpengaruh isu kuda DAP

Namun begitu, pengulas politik Mohd Sayuti Omar mempunyai pandangan sedikit berbeda. Baginya, sukar untuk PH menguasai Perak apabila pembangkang berpecah. “Tindakan Pas sekarang seperti membantu Umno. Isu DAP cukup dimakan orang Melayu Perak. Ini belum dikira kesan persempadanan semula. Jadi, dalam PRU14, kalau PH dapat pertahan kerusi yang ada sudah kira memadai.”

Omar Sayuti, penulis dan penganalisa politik

Sayuti menghuraikan: “Kepimpinan MB Zambry tidak begitu hebat tetapi dia sangat jaga hati orang Melayu. Dia jadikan Melayu aset Umno. Dia juga peduli kepada seniman dan penulis. Banyak aktiviti sastera dibantunya dan ini adalah umpan untuk dijadikan alat mengait undi Melayu.”

Beliau mendakwa pemikiran Melayu kampung di Perak diracuni dan fobia dengan DAP. “Kerajaan Nizar dulu dilihat sangat terbuka dan liberal. Ia masih menghantui orang Melayu. Watak dua saudara dalam DAP, Ngah Koo Ham dan Ngeh Kor Meng, ditakutkan dan berjaya menakutkan mereka. Dan Nizar seperti tidak memahami budaya dan sensitiviti Melayu.”

Mengulas budaya politik Perak, Dr Muhaimin turut berpandangan: “Dari Panglima Bukit Gantang Wahab, Ahmad Said, Kamarudin Mat Isa hingga Zambry Abd Kadir adalah MB yang sikapnya sederhana dan tidak terlalu vocal. MB Perak secara umum dihormati. MB Perak tidak boleh ada hubungan dingin dengan istana. Ghazali Mat Jawi pernah berkrisis dengan Sultan Idris dan berakhir dengan pengunduran Ghazali dari jawatan. Sultan Perak pula dilihat sebagai demokrat, intelek dan terbuka.”

Nizar – Asmuni aset terbesar

Bagaimanapun Khairol Najib dan Faeez tetap berpandangan Nizar yang berganding dengan Asmuni masih merupakan aset besar buat pembangkang, khususnya AMANAH. “Aura Nizar masih berpengaruh. AMANAH kadangkala terpaksa jaja nama dia, ini parti Nizar,” ujar Faeez.

Nizar Jamaluddin, bekas MB Perak

“Cuma faktor Nizar sebagai ketua pembangkang perlu digerakkan lagi terutama untuk beri tawaran baru buat rakyat. Orang awam kenal dia sebagai bekas MB Perak yang berwibawa. Dan jangan lupa faktor Ustaz Ahmad Awang, Penasihat Umum AMANAH, yang berasal dari Perak, dan pernah menunjukkan kebijaksanaannya ketika menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008,” kata Khairol Najib.

Menyentuh kegiatan AMANAH di peringkat umbi, Timbalan Ketua Pemuda Negeri, Ahmad Syafiq Ariffin menjelaskan, kami mengambil pendekatan peduli rakyat bagi menarik golongan muda dengan pelbagai aktiviti mengikut skala berjadual. Peduli rakyat mengambil konsep terjah bagi menyelami masalah di lapangan.

“Pelbagai program berkonsepkan sukan sudah dijalankan seperti pertandingan badminton terbuka dan kejohanan futsal Piala Like Oren. Juga tidak dilupakan wacana ilmiah bergantung kepada pemahaman politik kawasan tersebut,” jelas Syafiq.

“Pemuda AMANAH Perak perlu lebih proaktif,” ujar Khairol Najib.

“Ambil contoh Pemuda Kelantan, penggerak mereka tidak ramai tapi mereka gerakkan Husam Musa pusing satu Kelantan. Seolah-olah isu Kelantan jadi isu nasional. Mereka manfaatkan secara optimum FB live dan ditunggu-tunggu oleh orang luar Kelantan.”

Sambutan wanita

Menyentuh respons wanita, Ketua Angkatan wanita (Awan), Zuhairah Datuk Ghazali menjelaskan sambutannya cukup baik. “Kegiatan ekonomi yang semakin mendesak menarik minat wanita kepada AMANAH. Kita dikenali dengan sikap keterbukaan dan kerja kebajikan. Ada sesetengah tempat yang kita rasa tak mungkin dapat tubuhkan cawangan, di situlah tempat yang kuat dan subur untuk AMANAH,” katanya.

Zuhairah Datuk Ghazali, Ketua Wanita AMANAH Perak

“Kita tubuhkan sekretariat wanita Pakatan Harapan. Alhamdulillah, beberapa program dapat digerakkan, antaranya kempen hentikan keganasan terhadap wanita dan sambutan hari ibu,” jelas Zuhairah yang lebih dikenali sebagai Kak Ju.

Di peringkat akar umbi, tinjauan yang dibuat di Parit Buntar menunjukkan perkembangan AMANAH begitu memberangsangkan.

“AMANAH Parit Buntar menerima anugerah penubuhan cawangan tertinggi semasa Konvensyen AMANAH Perak. Kini kami tumpukan usaha mencapai 100 peratus penubuhan cawangan dalam Dun Titi Serong dan menambah cawangan dalam Dun Kuala Kurau. Usaha penubuhan cawangan ini perlu digiatkan memandangkan Amanah Parit Buntar akan pertahan kerusi Parlimen dan bertanding Dun Titi Serong,” kata Ketua Komunikasi AMANAH Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad.

Cabaran di Parit Buntar

“Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa adalah aset kepada AMANAH Parit Buntar. Banyak program kebajikan dan peduli rakyat yang diusahakannya secara berkala,” tambahnya. Ditanya peluang Dr Mujahid dalam PRU14, Hamdan menjelaskan: “Sekiranya pengundi Cina kekal mengundi PH, Dr Mujahid hanya perlu 25% undi Melayu untuk menang. Ia mampu dicapai berikutan penubuhan Bersatu yang menarik ramai pengundi Umno-BN menyokong PH.”

Menjawab saingan Pas di kawasan luar bandar, Hamdan menambah, hampir 70 peratus kampung-kampung di Parit Buntar dikenali sebagai kampung orang Pas.

“Sudah tentu AMANAH Parit Buntar berdepan halangan mencari ahli baru. Sungguhpun ramai ahli dan penyokong Pas menyokong perjuangan AMANAH tetapi mereka tidak berani menyatakan secara terbuka kerana takut dipulau.

“Namun, AMANAH Parit Buntar tetap berusaha menggunakan pelbagai pendekatan mendapat ahli baru. Akhirnya, usaha ini menampakkan kejayaan apabila sudah ramai ahli Pas yang menyertai AMANAH. Selain ahli Pas, AMANAH Parit Buntar turut disertai bekas ahli Umno, ahli tanpa parti serta orang-orang Cina dan India,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri, Abd Rahim Nordin yakin dengan lonjakan undi masyarakat Melayu kepada PH.

“Kalaupun tidak berlaku tsunami Melayu di Perak, pengundi Melayu sudah tidak takut lagi untuk buat perubahan. Setiap program kita dapat sambutan yang baik dan kita akan banyakkan lagi usaha turun padang untuk mendekati masyarakat, menghayati keperitan hidup mereka dan berusaha menawarkan pilihan lebih baik,” tambah Abd Rahim.

Gerak kerja proaktif

“Hati dan pemikiran orang Melayu, insya-Allah semakin terbuka menerima kehadiran AMANAH. Cuma, kita perlu lebih proaktif memberi penerangan dan penjelasan. Sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan parti komponen BN akhirnya akan menikam diri mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Ditanya persiapan AMANAH untuk berdepan pertandingan tiga penjuru, pengarah pilihan raya, Badrul Hisham memberi respons: “Pertama sekali saya ingin tegaskan bahawa keputusan PRK Kuala Kangsar atau Sungai Besar tidak boleh dijadikan ukuran. Ini kerana keputusan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor yang kita sedia ketahui.

“Gerak kerja yang disusun di peringkat AMANAH lebih memfokuskan kes dua penjuru. Seandainya jentera kami dapat mencapai 75% hasil kerja untuk pertandingan dua penjuru ini, pertandingan tiga penjuru akan menjadi satu bonus kepada AMANAH dan Pakatan Harapan. Apatah lagi jika PH dapat mendaftar satu logo dan satu manifesto,”

Dr Muhaimin Sulam, Naib Pengerusi AMANAH Perak

Semoga impian yang nampak mudah di atas kertas juga akan diterjemahkan dalam bentuk kemenangan dalam PRU14 nanti. Menyedari sentimen perkauman akan dimanipulasi semaksimum mungkin, maka jentera kempen bersepadu PH perlu lebih proaktif menanganinya, terutama dalam bentuk penampilan aksi bertindak yang mampu menuetralkan “racun berbahaya” itu. Kesilapan lama, termasuk persepsi negatif semasa 11 bulan mentadbir Perak harus dijadikan iktibar.

Pengakuan jujur Dr Muhaimin mengenai cabaran besar AMANAH harus diambil berat. Beliau mengakui Nizar Jamaluddin sebagai bekas Menteri Besar masih mempunyai aura kepimpinan dan mempunyai kedudukan dalam Pakatan Harapan Perak.

“Faktor ini tidak memadai untuk menganjak lebih ke hadapan. Kepimpinan lain walaupun ke hadapan dan turun padang, jentera parti yang masih baru sukar melebarkan pengaruhnya,” ujarnya.

Pengaruh belum meluas

“Jentera akar umbi masih berada tahap pembinaan. Oleh itu, pergerakan politik Amanah agak terhad. Tidak seperti dalam Pas dulu, jentera sudah menyeluruh. Amanah tersepit untuk menjadi sebuah parti massa atau parti seperti DAP, yang keahliannya tidak begitu meluas tetapi berpengaruh besar.

“Di kawasan luar bandar, Amanah agak sukar mengembang pengaruhnya kerana tindakbalas parti lama yang keras. Berbeda di kawasan urban seperti Tambun, Gopeng, Lumut, sekadar menyebut contoh, masyarakatnya lebih terbuka,” tambah Dr Muhaimin.

AMANAH juga, katanya, perlu pendekatan yang lebih sinergi terutama di kawasan bandar bagi mendapat keahlian non Muslim. Di Perak, Naib Pengerusi AMANAH negeri dari keturunan Tionghua.

Sayuti Omar juga menyarankan agar AMANAH memberikan tumpuan untuk memperkemaskan organisasi di peringkat akar umbi di samping menyampaikan mesej yang jelas terhadap rakyat.

“Jangan vokal dengan Pas walaupun Pas bertindak keras kepada AMANAH. Mereka harus perbanyak buat tawaran dan gagasan berbanding dengan Pas dan Umno. AMANAH perlu dapatkan orang atas pagar berbanding orang Pas dan Umno. Hayati sejarah perjuangan Melayu Perak, termasuk tokoh-tokoh seperti Tok Sagor,” ujar penulis buku politik terkenal itu.

Beliau turut menyinggung faktor parti Bersatu. “Bersatu boleh menyumbang. Masalah mereka juga sama, tiada tokoh istimewa beraura di Perak,” kata Sayuti.

Seorang aktivis juga menyentuh hal sama: “Pemilihan Pengerusi Bersatu Perak yang rasanya semacam tidak serasi dengan Datuk Hamidah Osman menjadi tanda tanya. Pendiriannya terhadap Pas tidak begitu jelas, tidak seperti Hamidah.”

Tentangan Pas

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyenaraikan Perak sebagai salah sebuah negeri yang menjadi sasaran Parti Islam itu, selain Kedah, Kelantan, Terengganu dan Selangor, dalam PRU14. Dan diketahui umum sikap keras pimpinan tertinggi negeri terhadap AMANAH, termasuk Pesuruhjayanya, Razman Zakaria dan AJK Pas Pusat, Norazli Musa.

Malah Razman pernah membayangkan Pas Perak akan bertanding semua 59 kerusi Dun. Tetapi dalam masa sama, beliau juga seperti menggambarkan seolah-olah mungkin wujud persefahaman politik dengan Umno.

Bagi penggiat parti, Cikgu Shaharudin Ahmad Sani, AMANAH harus kurangkan politiking dan tinggalkan budaya Pas yang suka perlekehkan orang lain.

“Santuni masyarakat secara berterusan. Kena manfaatkan Nizar sebagai ketua pembangkang. Tonjolkan isu yang diperjuangkannya, jangan perap di pusat khidmat. Beri langkah penyelesaian.

“Misalnya, isu sampah, jangan tunjuk sampah tapi sewa lori sampah dan angkut. Jika banjir, bawa jengkaut korek sungai. Nizar juga harus lebih kerap turun kawasan, jangan seminggu sekali” ujarnya.

“Dan jaga tutur kata di tempat awam, misalnya jika berceramah sebut gelaran yang betul walaupun pada saingan politik kita. Misalnya Tuan Guru Haji Hadi atau Ustaz Hadi, jangan sebut Hadi aja. Ceramah Nizar jangan hanya sekitar isu Najib, Rosmah dan Zambry, elak persepsi nak balas dendam, tonjolkan isu-isu dasar dan pokok selari kedudukannya sebagai bekas MB,” pesannya.

“Saya lihat AMANAH hanya kuat di kawasan tertentu, misalnya Gopeng dan Tambun. Di Bukit Gantang sendiri pengaruh Pas masih kuat. Tok guru mereka masih kuasai masjid dan surau. YB Pas sudah boleh masuk masjid di kubu kuat Umno.

“Masa yang sama sambutan tazkirah Nizar di surau-surau mulai berkurangan. Nizar juga sudah tidak boleh jadi imam solat Jumaat. Keahlian AMANAH juga hanya tertumpu di Dun Changkat Jering dan akan terjejas jika lokaliti berpindah ke Dun sebelah,” tambah Shaharudin.

Ya, dalam suasana persaingan yang cukup sengit, peluang ada di mana-mana dan harus dimanfaatkan secara optimum tetapi sedikit kealpaan dan kesilapan boleh membawa padah. Satu undi cukup berharga kerana ia boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya. Begitu juga kelemahan yang kecil boleh menjadi punca untuk kemenangan tertangguh lagi.

>> Komentar bebas mantan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman I 20 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *