MB Johor buat gimik cacamarba untuk tagih simpati rakyat sokong semula BN

Sejak Januari lalu, Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan ke kawasan Parlimen iaitu Johor Bahru, Kulai, Kluang, Parit Sulong, Muar, Labis, Tangkak, Pagoh, Sembrong dan Gelang Patah, Segamat, Tanjung Piai, Tebrau, Tenggara, Simpang Renggam, Pengerang, Sekijang, Ayer Hitam, Bakri, Pontian dan Sri Gading.

Difahamkan sudah ke 21 kawasan, masih berbaki 5 kawasan lagi.

Lawatan-lawatan ini pastilah menandakan bahawa pilihan raya umum (PRU) semakin hampir. Itu naratif biasa bagi sesebuah kerajaan, ia sebagai persiapan menjelang PRU-14. Tidak ada yang pelik atau baru.

Dari laporan ini, kita merumuskan bahawa beliau bersama gerombolannya, hanya datang untuk melaksanakan gimik, bertujuan untuk menggambarkan seolah-olah ia projek khas untuk rakyat atas keprihatinan beliau.

Segala janji dan pelbagai perasmian projek-projek yang dilakukan dalam lawatan itu, hanyalah gimik kerana semua projek-projek ini telah diketahui umum dalam belanjawan yang lalu. Bermakna ia bukan perkara baru. Hanya lawatan menagih simpati rakyat, itu sahaja.

Namun, apa yang saya tulis semua di atas bukanlah isu penting. Sebaliknya yang lebih penting untuk kita sebagai rakyat fahami adalah fungsi dan dasar sesebuah kerajaan yang cekap dan berintegriti.

Fungsi kerajaan

Perkara pertama, fungsi sesebuah kerajaan adalah berstruktur, bukan cacamerba dengan gimik perasmian itu dan ini. Kita ada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Kuasa kerajaan negeri dikongsi dan diturunkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) samada Majlis Daerah, Perbandaran atau Bandaraya.

Fungsi kerajaan negeri yang turun padang ke setiap kawasan Parlimen yang memiliki PBT atau berkongsi PBT harus jelas dan jitu. Bukan gimik.

Dalam semua lawatan MB Johor ke kawasan-kawasan ini, kita tidak mendengar apa-apa pengumuman untuk melakukan perubahan atau reformasi terhadap PBT-PBT ini.

PBT adalah agensi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat di setiap penempatan. Kemajuan dan kecekapan PBT akan memberi impak secara langsung dengan keperluan rakyat disetiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). PBT bukannya boleh menjadi cekap hanya dengan lawatan MB!

Maka, lawatan MB tanpa membuat pembaharuan ke atas PBT adalah tersasar dari fungsi kerajaan. Tidak ada perubahan atau pembaharuan bermakna kerja melawat ini sia-sia. Lawatlah sebanyak mana pun Parlimen atau DUN, ia sia-sia kerana ia bukan tugas utama sesebuah kerajaan.

Sebagai contoh. Adakah MB sedar bahawa Bas Percuma (idea yang diciplak dari Selangor dan Penang) yang diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada PBT, tidak memberi impak yang maksimum?

Sudahkah MB melawat laluan-laluan Bas Percuma beliau ini? Tahukah beliau bahawa laluan-laluan yang ditentukan oleh PBT tidak dimencakupi laluan penting?

Sebaliknya, apa yang dilihat penting dalam lawatan beliau hanyalah program merasmi pecah tanah itu dan ini, edar pemberian atau sumbangan itu dan ini kepada rakyat.

Bayangkan betapa sia-sia dan pembaziran waktu untuk lawatan-lawatan ini.

Rakyat tentulah suka dapat bertemu pemimpin. Itu perkara alamiah. Tetapi ingin saya ulangi, adakah ini fungsi sebenar kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat?

Jika mengatakan bahawa ini salah satu cara untuk pemimpin mendengar keluhan rakyat? Saya ingin bertanya, berapa banyak sesi dialog yang dijalankan secara terbuka di setiap kawasan yang MB lawati itu? Tidak ada juga. Yang ada cuma ucapan politik dari MB kepada rakyat, rakyat pula mendengar sambil melopong.

Integriti kerajaan

Kedua, soal integriti.

Dalam semua acara mahupun lawatan beliau hingga hari ini, tidak ada satu pun rakyat mendengar adanya perubahan dasar dan mekanisme untuk memulihkan integriti kerajaan negeri dan menarik kembali keyakinan rakyat selepas terpalit dengan skandal penyelewengan hartanah di Johor.

Beliau hanya menukar portfolio dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO), bukan melakukan reformasi sistem, baik di peringkat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) atau agensi negeri yang lain termasuk PBT.

Isu tentang bagaimana tender-tender di peringkat PBT dibuat? Bagaimana Ahli Majlis dapat lebih cekap dalam melaksanakan amanahnya? Rakyat mahu mendengar dan berbincang tentang perkara-perkara ini dalam lawatan MB, tetapi tidak ada.

Saya ingin beritahu kepada rakyat bahawa, gimik-gimik MB Johor ini tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, sebaliknya beliau hanya meneruskan legasi kepincangan sistem yang wujud di peringkat kerajaan negeri dan PBT.

Sistem yang masih tiris ini diabaikan dengan gimik meriah lawatan ke kawasan Parlimen-parlimen di Johor. Selain daripada gimik lawatan, semua perasmian dan pemberian kepada rakyat, hanyalah ibarat dedak pilihan raya. Ia juga bertujuan untuk managih simpati dari rakyat. Tidak lebih dari itu.

Hakikatnya, Kerajaan Johor masih mewarisi pimpinan kleptokrasi Najib Tun Razak.

>> Komentar bebas Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Mahdzir Ibrahim I 20 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *