Raja Bahrin jawab AJK Pas Kuala Terengganu tentang usaha padam ‘Legasi Nik Aziz’

Saya mohon mengulas serangan dan tomahan Haji Ahmad Amzad Hassim selaku AJK Pas Kuala Terengganu kepada penulisan saya tentang “Usaha Memadamkan Legasi Nik Aziz” pada 12 April 2017.

Pada permulaan serangan Haji Amzad beliau mengatakan saya hanya “sekali sekala” ke kuliah Tok Guru Nik Aziz dan seolah-olah saya mentah tidak memahami sangat ajaran serta pemikiran Nik Aziz.

Ahmad Amzad Hassim

Adakah Haji Amzad mengetahui segala gerak geri saya semenjak awal 1980’an apabila saya pulang ke Terengganu dan berulang ke Masjid Pulau Melaka untuk hadir kuliah subuh Tok Guru Nik Aziz?

Semasa itu Haji Amzad baru berusia 12 tahun. Saya lebih selesa ke kuliah Masjid Tok Guru Pulau Melaka bersama dengan pelajar-pelajar dari Maahad Darul Anuar dalam ketenangan suasana di awal pagi.

Orang pertama yang saya zahirkan hasrat dan mohon restu doa sebelum menjadi ahli Pas adalah Tok Guru Nik Aziz, di Masjid Pulau Melaka.

Tahukah wahai Haji Amzad yang berusia 12 tahun masa itu tentang dua perkara tersebut di atas? Tidak mungkin di usia begitu muda Haji Amzad telah berupaya mengikuti pergerakan saya di Terengganu dan Kelantan.

Penggunaan perkataan “bohong” Haji Amzad terhadap penulisan saya adalah keterlaluan apabila dikira beliau menyatakan perkara-perkara yang beliau sendiri tidak mungkin mengetahui sejarah saya mendekati Tok Guru Nik Aziz sejak 1980an.

Saya mendekati Tok Guru bukan untuk mencari kedudukan atau pengaruh tetapi bagi menambah pengetahuan dan menjiwai ilmu Tok Guru yang penuh kebijaksanaan dan kelembutan serta hemahnya.

Kenyataan kononnya saya dipanggil oleh Ustaz Wan Shukairi di rumah Haji Amzad khusus tentang isu PASMA dan Pilihanraya Kerajaan Tempatan adalah tidak munasabah.

Perkara yang sebesar dan “serius” seperti itu sepatutnya di bawa ke mesyuarat Pas Kawasan Kuala Terengganu dan bukan mesyuarat sulit. Kalau benar yang “kesalahan” saya terbukti kenapa tidak ada majlis yang sepatutnya di buat melalui mesyuarat rasmi?

Isu utama yang ditimbulkan adalah tentang penulisan saya berkaitan “Legasi Nik Aziz” dan mereka tidak mahu ahli-ahli mesyuarat lain mengetahui teguran ini dibuat.

Lagipun saya pernah ditegur secara keras dalam Mesyuarat Pas Kawasan Kuala Terengganu tidak lama selepas menjadi Ahli Parlimen di atas isu yang tidaklah begitu “serius”.

Jadi kenapa kali ini di buat cara sulit pula? Beberapa bulan sahaja selepas di pilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu saya pernah ditegur keras dalam Mesyuarat Pas Kuala Terengganu kerana kononnya tidak menjaga kawasan.

Saya baru sahaja selesai menghadiri sessi sidang Parlimen pertama saya dan sudah tentu banyak yang saya perlu pelajari tentang peraturan dan persiapkan keperluan untuk menjadi Ahli Parlimen yang berkesan dan bukan sekadar hadir tunjuk muka sahaja.

Kehadiran serta rekod ucapan saya di Parlimen yang tercatat secara rasmi boleh memberi gambaran jelas komitmen saya.

Cemuhan Haji Amzad yang “hari ini saya berucap seorang di belakang Hilux tidak dipedulikan sesiapa” menunjukkan sikap yang kurang matang. Seorang wakil rakyat mesti meletakkan khidmat menyampaikan maklumat sidang Parlimen sebagai keutamaan tugas penting tidak mengira berapa orang yang hadir.

Kita turun ke bawah mencari rakyat dan bukan minta rakyat datang menyembah kita. Kita sebagai wakil rakyat patut memperhambakan diri dan bukan hanya ingin berceramah di hadapan ribuan atau ratusan orang sahaja dengan kutipan wang melalui “koleksi dana”.

Rakyat mesti di dahulukan. Sudah lupakah Haji Amzad pemimpin Pas terdahulu pernah berceramah di tempat-tempat di mana lagi banyak batang pokok daripada orang semasa mula perjuangan dahulu?

Kenapa bermegah diri sekarang. Kenapa hendak diremehkan pendekatan ini di mana ia merupakan kebiasaan di Pantai Barat. Haji Amzad tidak mengikuti perkembangan semasa.

Ceramah mini diatas Hilux di Shah Bandar dan Pantai Batu Buruk mendapat sambutan orang yang berhenti bertanya isu semasa. Lagipun saya terpaksa mengadakan ceramah-ceramah ini kerana Pas Kawasan Kuala Terengganu tidak mengatur program ceramah seperti sepatutnya dan cara terancang.

Bolehkah Haji Amzad memberitahu berapakah ceramah Pas Kawasan Kuala Terengganu adakan setiap bulan semasa saya bersama Pas? Saya menanti-nanti program ceramah untuk turun bersama rakyat hingga saya terpaksa membuat program secara bersendirian.

Janganlah kita membesarkan diri sendiri dan pandang rendah orang yang berceramah walaupun di hadapan satu orang sahaja pun. Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W. pun pernah berceramah serta berdakwah di hadapan beberapa orang sahaja walaupun Baginda seorang Nabi.

Siapakah kita, kalau dibandingkan dengan Rasulullah S.A.W. yang sanggup berbuat demikian. Kenapa hendak diperlekehkan? Jangan lupa diri asal usul sejarah semasa Pas baru bermula. Jangan pandang rendah rakyat yang inginkan maklumat semasa.

Umum maklum Haji Amzad mungkin akan dijadikan calon dan InsyaaAllah akan menjadi wakil rakyat suatu hari nanti. Janganlah dengan gelaran Yang Berhormat kita berkira di mana kita hendak berceramah dan berapa orang yang hadir.

Keikhlasan untuk berdamping dan menyampaikan maklumat kepada rakyat patut di utamakan. Sebagai hamba Allah kita patut merendahkan diri kita ke jalan Allah untuk rakyat yang perlu pembelaan.

Saya tetap dengan kenyataan saya yang memang ada usaha-usaha tertentu untuk memadamkan Legasi Nik Aziz, Almarhum Nik Aziz memberi ruang dan peluang yang sama kepada golongan ulama serta profesional dan memberi perhatian kepada orang Islam dan bukan Islam.

Kepada Haji Amzad saya berharap beliau jangan menganggap kelulusan ilmu pendidikan semata-mata boleh melengkapkan diri kita menjadi sempurna. Ilmu pendidikan betapa tinggi pun yang kita miliki, tidak boleh menandingi kebijaksanaan yang dianugerah hanya oleh Allah.

Kerana itulah Almarhum Tak Guru Nik Aziz Nik Mat adalah “One In A Million” –seorang dalam sejuta. Almarhum memiliki ilmu yang tinggi, hidayah dan kebijaksanaan kurniaan Allah menjadi pemimpin contoh Islam Rahmatan Lil-Alamin.

>> Komentar bebas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YBM Raja Bahrin Shah I 19 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *