Perang siber mesti ada undang-undang dan etika terutama cybertrooper Islam yang terikat dengan hukum hakam

Perang ada undang-undang, peraturan dan etikanya. Semua tentera negara berdaulat di dunia tertakluk pada Konvensyen Vienna. Dalam Islam, Fiqh Jihad jelas menuntut supaya para mujahidin wajib patuh hukum-hakam jihad dan akhlaknya.

Begitu juga dalam perang siber. Cybertroopers juga wajib patuh pada undang-undang dan etika. Lebih-lebih lagi cybertroopers beragama Islam. Mereka juga wajib patuh pada hukum-hakam dan akhlak dalam agama.

Dalam medan peperangan, ada tentera kerajaan yang memperolehi gaji dan elaun. Mereka makan gaji seperti kakitangan kerajaan yang lain. Ada pula tentera yang merupakan sukarelawan. Mereka juga diberi imbuhan tertentu daripada kerajaan, walaupun tidak berbentuk gaji.

Tentera kerajaan dan sukarelawan walaupun memperoleh upah daripada kerajaan tetapi asasnya ialah mereka percaya pada perjuangannya, umpamanya untuk negara atau idealisme tertentu.

Tetapi ada pula tentera yang dipanggil tentera upahan, atau mercenaries. Mereka hanya berperang untuk wang. Mereka tidak perlu percaya pada matlamat perjuangan seperti untuk negara atau idealisme. Tentera upahan selalunya mendapat bayaran yang tinggi.

Begitu juga dalam perang siber. Tentera siber dipanggil cybertroopers. Ada yang makan gaji. Ada yang secara sukarela. Yang sukarela ini tidak memperoleh bayaran apa-apa kerana mereka berjuang atas kepercayaan.

Kalau adapun ia berbentuk token ataupun sagu hati. Tidak banyak. Ia hanya merupakan bayaran penghargaan.

Tetapi di kalangan cybertroopers, ada yang berupa tentera siber upahan. Mereka ini berperang siber hanya untuk duit. Mereka tidak percaya pada inti perjuangan. Selalunya mercenary cybertroopers mendapat bayaran yang tinggi.

Imbuhan yang mereka perolehi inilah dipanggil dedak. Mereka juga disebut sebagai dedakians. Selalunya mereka bergerak secara berkumpulan.

Setiap kumpulan diketuai oleh seorang gembala. Gembala ini memperoleh dedak yang lebih lumayan.

ZIN MAHMUD
Taman Seri Gombak
17 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *