Karikatur, satira politik gunakan kawanan haiwan sebagai watak permudah sampai mesej

Pada tahun 1945 George Orwell atau nama sebenarnya Eric Arthur Blair telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Animal Farm” (Politik Kandang) di England. Beliau menulis buku ini pada sekitar November 1943 sehingga Februari 1944 yang mana watak dan latarnya berkisarkan mengenai Revolusi Russia yang berlaku pada 1917 yang berlanjutan sehingga ke era Stalinis.

Orwell menterjemahkan kritikannya terhadap Kesatuan Soviet dalam bentuk tulisan satira yang menggunakan kawanan haiwan sebagai watak-watak utama. Ia menjadikan haiwan-haiwan tersebut sebagai maksud kepada Kesatuan Soviet yang telah dibina di atas kultus personaliti dan dikuatkuasakan oleh pemerintahan berlandaskan keganasan hingga menjadi sebuah diktator yang kejam.

Setahun selepas itu, 1946, Orwell telah menulis sebuah rencana yang bertajuk “Why I write?” yang menerangkan tujuan beliau menulis selama ini. Dalam rencana tersebut terdapat 4 tujuan yang dinyatakan dimana salah satunya adalah tujuan politik dengan menggunakan maksud politik dalam erti kata yang seluas mungkin. Ia sebagai satu kompas untuk membawa dunia ke arah yang tertentu dan mengubah pemikiran orang ramai kepada cara berfikir yang tertentu.

Beliau menyatakan tiada satupun buku yang benar-benar bebas untuk tidak berat sebelah kepada politik dan menolak pendapat bahawa seni tidak harus mempunyai apa-apa kaitan dengan politik itu sendiri adalah satu sikap politik.

Satira dalam Hikayat Jelajah ke Barat

Lebih awal sebelum itu iaitu pada tahun 1592, seorang novelis dan penyair Cina iaitu We Cheng’en telah menulis sebuah karya yang bertajuk “Xi You Ji” atau “Hikayat Jelayah ke Barat”.

Salah satu watak dalam karya ini yang sangat terkenal di seluruh dunia adalah Sun Wukong atau Xingzhe yang merupakan seekor monyet yang sangat nakal dan pernah menghuru-harakan istana kayangan. Akibatnya Wukong dijatuhkan hukuman dihempap batu di bawah Gunung Berunsur Lima oleh Bodhisattva selama 500 tahun.

Selepas Wukong dibebaskan, dia ditugaskan untuk membantu Sami Tang atau Xuan Zhuang bersama Zhu Bajie dan Sami Sha untuk pergi mendapatkan 657 set kita Buddha di India.

Namun, perjalanan yang mengambil masa 17 tahun ini (629-645 Masihi) sangat jarang difahami oleh orang umum bahawa sebenarnya adalah merupakan kritikan dan satira kepada sistem feudalisme masyarakat Cina ketika itu. Woo Tack Lok dalam kata pengantar penterjemah bahasa Melayu menyatakan;

“Nilai pemikiran dalam Xi You Ji ini amat menyerlah kerana penulis tanpa belas kasihan mengkritik dan mencela nilai sosial yang kolot dan sistem pemerintahan feudal yang zalim dan keji.

Secara tajam dan terus menerus, beliau menyindir para pemerintah negara yang dikuasai oleh syaitan atau membiarkan syaitan mentadbir negara secara menyeleweng atau tanpa berperikemanusiaan sehingga menindas dan menyeksa rakyat jelata sesuka hati.”

Penulis turut mengkritik golongan agamawan yang tidak terlepas daripada ketamakan nafsu dan haloba. Dalam Bab 16 Jilid 1, Sami Tang bersama Wukong sampai di sebuah kelenteng (rumah berhala sami) untuk tumpang bermalam. Di situ terdapat seorang sami tua yang sudah berumur 270 tahun tinggal bersama 200 anak muridnya.

Sedang mereka menjamu teh, sami tua bertanyakan bahawa pasti ada sesuatu barang ajaib yang dibawa oleh Sami Tang dalam perjalanan yang sangat jauh. Kebetulan Sami Tang memiliki sepasang jubah yang diberikan oleh Bodhisattva. Apabila ditunjukkan jubah tersebut, sinaran merah memenuhi seluruh bilik dan cahaya pelbagai warna menyelubungi halaman. Melihat sahaja keindahan itu, sami tua terus memasang niat untuk mencuri jubah tersebut.

Sami tua telah meminta untuk menyimpan jubah tersebut hanya satu malam dan akan dipulangkan pada keesokannya harinya. Sami Tang bersetuju. Namun pada malamnya, sami tua bersama anak-anak muridnya telah merancang hendak membunuh Sami Tang demi untuk memiliki jubah sakti itu. Sami-sami tersebut mengumpulkan kayu api di sekeliling bilik Sami Tang dan ingin membakarnya.

Wukong yang mengetahui perancangan sami tua itu telah menyelamatkan Sami Tang. Pada masa yang sama, dia membuat muslihat dengan meniupkan angin yang sangat kuat sehingga api menjadi terlalu marak. Akhirnya telah menyebabkan kelenteng itu hangus dan sami tua itu mati. Bab ini secara jelas mengkritik golongan agamawan yang sanggup mengambil kesempatan terhadap orang lain demi kepentingan peribadinya sendiri.

Satira sebagai kiasan dalam masyarakat Melayu

Dalam sastera klasik Melayu juga sebenarnya sudah lama menggunakan kaedah satira untuk menyampaikan nasihat atau kritikan sosial. Pada tahun 1908, R.O. Winstedt merakamkan cerita Pak Kadok, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang dan Si Luncai dalam buku yang bertajuk Cherita Jenaka terbitan Methodist Publising House di Singapura. Karya asli Cherita Jenaka ini sebenarnya ditulis oleh Raja Haji Yahya yang berasal dari Perak dan diceritakan oleh Pawang Ana.

Contoh satu lagi yang sengaja dipilih adalah novel Kawin-kawin hasil karya Azizi Haji Abdullah yang merupakan ahli Pas. Karya ini telah memenangi tempat pertama Hadiah Sako pada tahun 2001.

Buku ini sebenarnya menggambarkan kisah antara dua parti iaitu UMNO dan Pas sebagai dua orang wanita yang cantik dan kaya-raya. UMNO diberikan watak Mas Umm dan Pas memegang watak Siti Menurra oleh penulis.

Penulis menggambarkan Mas Umm sebagai seorang yang mengamalkan kahwin Mut’ah atau kahwin kontrak. Manakala Siti Manurra pula merupakan seorang gadis cantik yang kuat agama, berharta dan berpendirian teguh. Mereka berdua pernah bermadu tetapi Siti Manurra telah bercerai dengan suaminya iaitu Pak Qum akibat fitnah.

Di sini kita boleh memahami bahawa latarnya adalah UMNO dan Pas pernah bergabung dalam Barisan Nasional tetapi berpisah pada tahun 1978 kerana krisis darurat di Kelantan. UMNO digambarkan sebagai seorang wanita yang cantik tetapi mengamalkan kahwin Mut’ah di mana ia dianggap hina dalam majoriti masyarakat Muslim di Malaysia. Pas pula digambarkan memiliki segala kebaikan terutamanya dalam hal ehwal agama.

Berdasarkan ini kita boleh fahami bahawa karya yang berbentuk satira bukan hanya bertujuan untuk pendidikan, nasihat atau hiburan semata-mata tetapi ia juga turut membawa pegangan ideologi, misi dan visi mereka tentang politik.

Karikatur RUU355

Beberapa hari lepas, Nanyang Siang Pau telah mengeluarkan sebuah karikatur yang berupa monyet memakai songkok merujuk kepada Pandikar Amin melompat dari pokok RUU355 dan seekor lagi monyet memakai serban yang dikatakan merujuk kepada Abdul Hadi Awang.

Ia ditafsirkan sebagai tindakan Pandikar yang menangguhan perbahasan pindaan RUU355 di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Walaupun pihak Nanyang telah pun mengeluarkan permohonan maaf tetapi pihak Pas masih tidak berpuas hati dengan menganjurkan demonstrasi di hadapan pejabat akhbar tersebut.

Secara peribadi, adalah hak Pas untuk melakukan demonstrasi tetapi gesaan supaya permit Nanyang dikaji semula dan diambil tindakan sewajarnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan alasan menghina hukum Islam adalah tidak wajar.

Sebenarnya karikatur tersebut tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan perkataan-perkataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas seperti Hadi Awang mengenai DAP “butir tahi PAP” dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggelar DAP sebagai “biawak hidup”.

Sebenarnya terlalu lucu, apabila ahli-ahli Pas marah mengatakan Nanyang tidak matang dan berakhlak tetapi ketawa sakan apabila pimpinan mereka menggelar orang lain dengan kata-kata yang kesat.

Puteri Roslina Abdul Hamid dalam satu makalahnya di Jurnal Bahasa DBP yang bertajuk “Pendekatan Sosiokognitif dalam Seni Kartun: Kajian Kes Kartun Lat” menyatakan kartun adalah seni simbolik dengan unsur-unsur sindiran dan kritikan yang mempunyai mesej tertentu yang bersifat sebagai senjata politik, kemasyarakatan, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Senada dengan Zunar, saya juga berpendapat menggunakan haiwan sebagai watak dalam kartun adalah merupakan perkara yang biasa bagi memudahkan penyampaian mesej.

Pas sepatutnya lebih memahami perkara ini kerana Harakah adalah yang terawal mengeluarkan kartun satira politik yang dilukis oleh Zunar sejak tahun 1999 dalam tempoh beberapa tahun sebelum beralih ke Malaysiakini.

Penutup

Kaedah penulisan, lukisan atau penyampaian secara secara satira adalah kaedah yang telah digunakan sejak lama dahulu lagi dan ia diterima di seluruh dunia. Ia juga adalah kaedah yang telah mengakar dalam kebudayaan Melayu bagi memudahkan penyampaian mesej atas tujuan apa sekalipun.

Kartun adalah salah satu daripada cabang kebebasan bersuara dan ekspresi yang tidak perlu ditekan menggunakan institusi kuasa. Pas sewajarnya merespon dengan tindakan-tindakan yang lebih mampu menyuburkan budaya demokrasi seperti dialog, perhimpunan aman dan sudah semestinya boleh menggunakan kaedah yang sama iaitu seni atau satira.

Walaupun mempraktikkan undang-undang juga adalah salah satu cara menyuburkan demokrasi tetapi wujud kekhuatiran tindakan tersebut hanya digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Kita sepatutnya mengidamkan satu budaya yang lebih terbuka dan kurang sensitif dalam isu-isu seperti ini.

Kita tidak mahu peristiwa sedia ada sentiasa berulang-ulang seperti penyalahgunaan Akta Hasutan sebagai aparatus untuk menutup kritikan terhadap salah urustadbir, pembaziran wang rakyat dan pencabulan hak asasi pada masa hadapan.

>> Komentar bebas Alumni Sekolah Demokrasi, Tarmizi Anuwar I 14 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *