Selangor gantung garis panduan rumah ibadat kontroversi kata Exco Kanan kerajaan negeri

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menggantung pindaan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor edisi ke-3 melibatkan peruntukan kontroversi dalam pembinaan rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Exco kanan, Datuk Teng Chang Khim berkata, keputusan itu yang dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu berkuat kuasa serta-merta, lapor FMT.

Katanya, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (JPBD) membuat semakan semula sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada penambahbaikan atau peruntukan kontroversi itu akan dipadamkan.

“Saya melaporkan kontroversi berkenaan garis panduan perancangan piawaian negeri Selangor pada mesyuarat exco pagi ini dan MMKN sudah menggantung pelaksanaan perkara yang menimbulkan kontroverai dalam garis panduan berhubung rumah ibadat selain Islam dan akan menyemak semula.

“Hanya garis panduan yang menimbulkan kontroversi sahaja digantung, jadi apa nak risau lagi dan JPBD akan siasat dan mambuat semakan semula,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat exco dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini.

Ahad lalu, Teng dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, kesilapan dan peruntukan kontroversi dalam garis panduan itu akan dibuang.

Katanya, garis panduan edisi ke-3 itu adalah semakan kepada versi lama, bertujuan menjadikan peruntukan tidak jelas, lebih jelas dan hanya terpakai kepada rumah ibadat bukan Islam yang baharu.

Teng berkata, antara peruntukan bermasalah termasuk rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina dalam kawasan komersial atau dalam jarak 50m dari rumah umat Islam, selain pembinaannya perlu mendapat persetujuan penduduk berbilang kaum yang tinggal dalam lingkungan 200m serta strukturnya tidak boleh tinggi daripada masjid berdekatan.

Mengulas desakan supaya beliau meletak jawatan, Teng berkata, isu itu tidak perlu ditimbulkan lagi kerana keutamaan kerajaan negeri ialah menjaga keharmonian antara agama di Selangor.

“Isu yang penting (ialah) kerajaan negeri ingin menjaga keharmonian dan keamanan pelbagai agama di Selangor dan kita menghormati semua agama yang diamalkan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *