Persoal pendirian Pesuruhjaya Pas Perak, mahu Pas Pusat nyatakan sikap kerjasama dengan Umno

Saya menerima banyak panggilan sejak pagi tadi mengenai satu perkongsian pagi ini oleh Haji Razman Zakaria, Pesuruhjaya Pas Perak yang diketahui rapat dengan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas.

Perkongsian ini melalui status Facebook beliau yang dinaikkan sekitar jam 9 pagi masih lagi berada di laman Facebook beliau sehingga kenyataan media ini ditulis jam 1214 tengahari ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli

Perkongsian itu sudah tentu menimbulkan keresahan kerana ia mengiyakan kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa ada anasir di dalam kepimpinan Pas sekarang yang masih berangan-angan untuk bergabung dengan UMNO (sama ada secara langsung atau melalui muslihat halus) dan mengambil alih Putrajaya melalui kerjasama sulit ini.

Apatah lagi bilangan kerusi parlimen sebanyak 80 kerusi itu sama banyak dengan pengumuman terkini pimpinan terkanan Pas bahawa parti itu berkehendakkan untuk bertanding 80 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia.

Apabila ditambah dengan ucapan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri sebelum ini yang menjadi tular tentang keinginan Pas untuk menguasai 5 buah negeri dan “membenarkan” UMNO berkuasa di negeri-negeri lain; kepimpinan Pas tidak lagi boleh membuat tidak endah kerisauan rakyat mengenai sikap Pas kepada UMNO.

Jika perkongsian mengenai penggabungan Pas dan UMNO itu ditulis oleh seorang ketua cawangan Pas, ia tidaklah sangat dihiraukan kerana ia mungkin pandangan picisan.

Namun, apabila ia dikongsi secara terbuka oleh seorang Pesuruhjaya Pas di negeri penting yang ingin dikuasai oleh Pas seperti yang diumumkan oleh Presiden Pas sendiri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menimbulkan perkara ini supaya ada jawapan yang jelas dari pimpinan Pas Pusat.

Sebab itu saya secara terbuka tampil dengan peringatan kepada Dato’ Seri Hadi Awang mengenai dana 1MDB yang mengalir dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib kepada seorang tokoh bekas pimpinan kanan Pas yang dilihat membawa agenda Kerajaan Perpaduan di antara Pas dan UMNO sejak bertahun-tahun lamanya.

Perkongsian di status Facebook oleh Pesuruhjaya Pas Perak pada hari ini menimbulkan suasana mendesak supaya kepimpinan Pas Pusat membuat pendirian rasmi mengenai perkara ini:

1. Jika benar Pas mempunyai strategi untuk bekerjasama dengan UMNO (sama ada secara terang-terang atau halus), maka berterus teranglah kepada rakyat dan KEADILAN supaya mudah untuk rakyat menghakimi parti-parti politik di peti undi nanti
.

2. Jika Pas langsung tidak berniat sedemikian dan perkongsian Pesuruhjaya Pas Perak itu hanya strategi peribadi beliau, maka wajarlah beliau diambil tindakan segera kerana “angan-angan” beliau itu boleh mendatangkan fitnah yang besar kepada Pas.

Saya akan menamakan tokoh bekas pimpinan Pas yang menerima dana 1MDB dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang disiasat dalam satu sidang media pada jam 1 tengahari esok (Khamis, 13 April 2017) yang akan disiarkan secara #FBLive di laman Facebook saya.

Pada hari Jumaat, 14 April 2017 jam 11 pagi saya akan membuat laporan SPRM bersama-sama dengan maklumat yang saya perolehi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Saya serahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia untuk menghakimi tindakan saya kerana niat saya adalah jelas; rakyat berhak mendapat maklumat yang jujur mengenai niat dan kedudukan setiap parti politik berhubung penyelewengan negara seperti skandal 1MDB agar mereka dapat membuat keputusan di peti undi secara adil.

>> Kenyataan media Naib Presiden Keadilan dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli I 12 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *