Kata-kata kesat Hadi Awang ‘DAP butir tahi PAP’ cemar imej Islam, sangat keterlaluan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin beragama Islam DAP semalam membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan parti mereka sebagai “butir tahi PAP”.

Hadi merujuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura dengan berkata, DAP diasaskan sejumlah bekas ahli PAP yang kekal di Malaysia.

Bagi mereka, kata-kata kesat itu tidak wajar keluar daripada seorang yang dianggap tokoh agama dan berpengetahuan tinggi dalam agama.

“Sebagai pemimpin agama, beliau tidak patut menggunakan perkataan yang tidak baik.

“Lebih menyedihkan, ini bukan kali pertama (beliau bertindak begitu),” kata Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Beliau merujuk kenyataan Hadi sebelum ini yang menyifatkan BN dan Pakatan Harapan seperti “biawak hidup” ketika menolak kemungkinan Pas menyertai 2 gabungan politik itu.

“Saya sebagai orang Islam rasa malu dengan kata-katanya. Ia hanya mencemarkan lagi imej agama,” kata Tengku Zulpuri lagi ketika dihubungi FMT.

Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap di Rusila, Terengganu semalam.

Dalam ucapan itu, Abdul Hadi turut menempelak DAP kerana mempertikai kerjasama Pas dan Umno demi Islam, dan berkata, kerajaan Pulau Pinang pimpinan parti itu juga berunding dengan Kerajaan Pusat.

Mengulas perkara itu, Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang Pahang berkata, ia sama sekali berbeza.

“Hubungan antara kerajaan tidak sama. Hubungan Pas dan Umno demi politik, jangan gunakan agama,” katanya.

Permusuhan 2 parti itu memuncak selepas Hadi membawa usul membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, bagi membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Dalam pada itu, seramai 15 Pemuda DAP beragama Islam dalam kenyataan bersama berkata, mereka kecewa dengan kata-kata yang dituturkan Hadi, yang menjadi Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Antaranya adalah Edry Faizal (ahli Jawatankuasa DAP Selangor), Dyana Sofya Mohd Daud (ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP), Sheikh Omar Ali (Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor) dan Muhammad Shakir Ameer Mohideen (Bendahari Pemuda DAP Selangor).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *