Penduduk setinggan mangsa janji Umno, hanya 9 unit PPR dibina di Batu Gajah

IPOH: Hanya sembilan unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina di kawasan Parlimen Batu Gajah setakat 20 Februari 2017 dakwa Ahli Parlimennya, V. Sivakumar.

Beliau berkata, ia bercanggah dengan manifesto Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang menjanjikan setinggan sifar di Perak.

“Janji kepada rakyat Perak tidak ditunaikan. Masing-masing sibuk dengan agenda mencari harta kekayaan untuk diri sendiri. Setinggan tetap tinggal setinggan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika taktik yang sama akan digunakan Umno-BN bagi memancing undi rakyat Perak pada PRU-14 akan datang.

“Di kawasan Parlimen Batu Gajah juga terdapat beberapa kawasan setinggan. Pelbagai janji ditaburkan sebelum PRU-13. Selepas pilihan raya, semuanya dibiarkan begitu sahaja.

“Kesian penduduk-penduduk setinggan ini yang sentiasa menjadi mangsa janji kosong. Kerajaan tidak serius menyelesaikan masalah golongan miskin ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa hanya satu projek telah disiapkan di kawasan Parlimen Batu Gajah iaitu PPR KTM Batu Gajah yang menempatkan sembilan unit rumah.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata bagi tahun 2017, kerajaan negeri maih belum mempunyai sebarang perancangan untuk membina rumah PPR baru di Batu Gajah.

Malah, katanya, tidak ada langsung projek sedemikian dibina di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Batu Gajah iaitu Dun Jelapang dan Dun Menglembu.

“Bagaimanapun, menteri berkata kementerianya tiada halangan jika terdapat cadangan pembangunan projek baharu daripada pihak kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.

“Masalahnya, adakah Kerajaan Negeri Perak mempunyai apa-apa cadangan seperti ini di kawasan Parlimen Batu Gajah?” soalnya.

Jika kerajaan negeri mempunyai sebarang cadangan berhubung perkara terbabit, Sivakumar yang juga Naib Pengerusi DAP Perak memohon supaya Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan cadangan tersebut kepada kerajaan Pusat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *