5 pelan pemulihan Felda untuk mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat peneroka

Felda ditubuhkan dengan matlamat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Malaysia yang berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang. Namun begitu, Felda kini telah menjadi konglomerat besar yang telah tersasar daripada tujuan asalnya.

Oleh demikian, Pakatan Harapan menawarkan resolusi-resolusi berikut bagi mengutamakan kebajikan peneroka Felda dan mengembalikan Felda ke hala tuju asal, agar kehidupan peneroka Felda lebih makmur, lebih berjaya dan lebih berdikari.

1. Mengukuhkan pengurusan dan tatakelola Felda

Pakatan Harapan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan berbilion-bilion ringgit, terutamanya semasa pengurusan Mohd Isa Abdul Samad, bagi mendakwa pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa dan mengembalikan wang yang ditiris.

Pakatan Harapan akan membatalkan semua transaksi yang tidak telus dan melibatkan kepentingan pihak tertentu, seperti pelaburan dalam Eagle High Plantations dan pinjaman wang dari Putra Star Investments.

Pakatan Harapan juga akan menyusun semula pelaburan Felda bagi memberikan tumpuan kepada perniagaan teras perladangan yang selaras dengan objektif meningkatkan kesejahteraan peneroka.

Pakatan Harapan akan memastikan semua perlantikan pegawai Felda dan anak syarikat Felda adalah berdasarkan merit dan integriti. Pengerusi Felda akan dinilai oleh Parlimen bagi memastikan hanya calon yang meletakkan kepentingan Felda sebagai keutamaan dan mempunyai kelayakan profesional akan dilantik.

Pakatan Harapan juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad daripada FGV kepada Koperasi Permodalan Felda.

2. Meringankan beban kos sara hidup dan hutang warga Felda

Memandangkan bahawa harga barang semakin meningkat, Pakatan Harapan akan meningkatkan wang sara hidup setiap peneroka sehingga RM2,000 bagi menampung kos tanaman peneroka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Apabila kelapa sawit berjaya dihasilkan dalam tempoh 7 hingga15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar balik dengan potongan minimum RM800 sebulan sehingga selesai tanpa faedah.

Jumlah hutang peneroka semakin meningkat sehingga RM100,000, terdiri daripada hutang bulanan sara hidup dan hutang pinjaman perumahan.

Memandangkan situasi hutang ini semakin serius, Pakatan Harapan akan mengkaji semula satu sistem untuk melupuskan sebahagian besar, mungkin sebanyak 50%, hutang ini untuk memastikan peneroka tua tidak akan membebankan anak mereka dengan hutang tinggi.

Pakatan Harapan juga memberi jaminan bahawa tanah warisan peneroka tidak akan dirampas untuk tebus hutang ini.

Pakatan Harapan akan menubuhkan satu agensi pemantauan yang tidak berat sebelah untuk menyemak semula apa-apa aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) bagi memastikan process penilaian minyak sawit adalah telus dan peneroka menerima harga yang setimpal untuk buah sawit mereka.

3. Mewujudkan mekanisme untuk berkongsi tanah warisan

Ramai peneroka telah meninggal dunia tanpa mendaftar untuk pemindahan hak milik dan ini mengakibatkan pertikaian timbul antara waris peneroka. Malah, pembahagian tanah akan menjadikan setiap sebidang tanah terlalu kecil untuk menjana nilai komersial.

Oleh itu, Pakatan Harapan mencadangkan supaya tanah warisan tidak dipecahkan, tetapi anak waris dan Felda akan membuat suatu Kontrak Perkongsian Pengeluaran (‘Production Sharing Contract’), di mana tanah warisan dipegang dalam akaun amanah untuk anak waris.

Tanah tersebut akan diurus oleh Felda dan pendapatan akan diedarkan seperti berikut:

Pertamanya, 10% daripada pendapatan Felda akan dibayar sebagai bayaran royalti kepada anak waris;

Kemudian, baki pendapatan dibayar kepada Felda untuk menampung kos operasi;

Akhirnya, jika ada keuntungan, ia akan dikongsi antara Felda dengan waris berdasarkan saiz tanah warisan.

4. Membangunkan Bandar Baru Felda di seluruh negara

Pakatan Harapan percaya bahawa jika kita dapat meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan perniagaan di kawasan Felda, generasi muda Felda tidak perlu meninggalkan ke kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencari rezeki.

Oleh itu, Pakatan Harapan akan menaikkan peruntukan pembangunan luar bandar untuk kawasan Felda dan menggunakan sebahagian daripada keuntungan Felda untuk membangunkan Bandar Baru Felda di seluruh negara.

Dana tersebut akan dibelanjakan untuk:
a) Membina pangsapuri untuk generasi kedua dan ketiga;
b) Mewujudkan pusat-pusat perniagaan di sekitar kawasan Felda;
c) Meluaskan liputan internet di seluruh kawasan Felda;
d) Meningkatkan hubungan pengangkutan;
e) Meningkatkan infrastruktur awam di kawasan Felda; dan
f) Menarik pelancong dari luar dan dalam negara untuk melawat kawasan Felda.

5. Menubuhkan Universiti Felda bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda Felda

Satu kajian mendapati bahawa lebih 95% daripada generasi dua Felda gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, walaupun 80% pelajar ingin melanjutkan pelajaran. Bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda, Pakatan Harapan akan menubuhkan kampus Universiti Felda di seluruh negara.

Cadangan penubuhan Universiti Felda pernah disuarakan pada tahun 2007 tetapi dibatalkan oleh kerajaan BN pada tahun 2014 atas alasan kos yang tinggi.

Pakatan Harapan akan membangkitkan semula rancangan penubuhan Universiti Felda dan memberi tumpuan kepada bidang yang berkaitan dengan industri kelapa sawit, seperti kejuruteraan mekanikal, pertanian, bio-teknologi, dan perniagaan.

Kurikulum universiti akan dirumuskan dengan kepakaran praktikal dari anak-anak syarikat Felda bagi memastikan graduan memenuhi keperluan teknikal syarikat-syarikat Felda.

Mahasiswa Felda akan diberikan peluang menjalankan latihan dengan anak-anak syarikat Felda, dan jika prestasi mereka memenuhi jangkaan, mereka akan diberi tawaran kerja sebelum mereka menamatkan pengajian.

>> Artikel ini telah disiarkan dalam Roketkini.Com pada 10 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *