Husam yakin muktamar April ini akan tentukan Pas bersama Pakatan Harapan atau BN

SHAH ALAM: Pakatan Harapan masih mempunyai harapan untuk bekerjasama dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika perwakilan parti itu membuat pilihan dan memberi isyarat yang betul dalam Muktamar Pas pada 26, 27 dan 28 April ini.

Datuk Husam Musa berkata, muktamar itu nanti akan menentukan Pas akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

“Kita masih ada harapan kalau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memimpin Pas tetapi kalau Ustaz Hadi (Awang), gone case (tiada harapan),” katanya dalam rancangan “Hard Talk mengganti Debat” bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada malam Sabtu, 8 April lalu.

Malaysia Dateline melaporkan, Husam mendakwa, dalam pilihan raya umum nanti hanya ada dua pilihan sahaja antara Pas bersama dengan Pakatan Harapan atau Pas bersama BN.

“Bagi saya tidak ada pilihan raya Pas menjadi kumpulan ketiga dan bertanding tiga penjuru,” kata beliau dalam rancangan yang disiarkan secara langsung melalui Youtube dan Facebook itu.

Dalam program yang diadakan selepas debat antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dibatalkan itu, tiga penal penyoal telah bertanyakan soalan kepada kedua-dua mereka di samping penonton dalam Dewan Pusat Kebudayaan Selangor di Shah Alam itu.

Tiga penal itu adalah Dr Mazlee Malek, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan Dr Wong Chin Huat manakala moderatornya adalah Ariffin Hassan.

Kedua-dua penal telah ditanya pelbagai soalan yang sensitif dari kerjasama dengan Pas, kenapa mahu jatuhkan Datuk Seri Najib hinggalah cadangan pilihan raya kerajaan tempatan.

Tun Mahathir menegaskan sekali lagi walaupun Najib ditukar beliau tidak akan kembali semula kepada Umno kerana bagi beliau Umno sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi,

Tentang pilihan raya kerajaan tempatan, Tun Mahathir berkata, ia agak sukar dibuat kerana polarisasi kaum di antara kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

Jika diadakan pilihan raya kerajaan tempatan, satu kaum akan menguasai majlis perbandaran manakala majlis daerah di luar bandar pula dikuasai oleh kaum lain.

“Ini tidak baik kepada negara apabila sesuatu dewan dikuasai oleh satu kaum sahaja. Sebab itu kita buat Dewan Undangan Negeri yang akan gabungkan semua pihak dalam satu negeri dalam satu dewan mesyuarat,” katanya.

Berpuluh-puluh ribu penonton mengikuti secara live rancangan itu manakala video rakamannya sudah ditonton hampir 100,000 selepas beberapa jam disiarkan dalam media sosial.

Ia dianggap temubual pertama secara live melalui sosial media yang paling berjaya dan mendapat sambutan hangat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *