Lebih separuh masa berjuang lawan Mahathir, kini Mat Sabu terus berganding bahu lawan BN

KUALA LUMPUR: Lebih separuh daripada tempoh kerjaya politik Mohamad Sabu dihabiskan dengan menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad atau Mat Sabu, satu ketika dulu dikenali sebagai “ayam sabung Pas” yang menarik ribuan hadirin ke ceramahnya, juga lantang bersuara menentang bekas perdana menteri itu yang mengetuai kerajaan selama lebih 2 dekad.

Kini, kedua-duanya berkongsi pentas, malah 2 minggu lalu, Mat Sabu diminta mempengerusikan mesyuarat pertama Pakatan Harapan menggantikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dimasukkan ke hospital, dan antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Dr Mahathir mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Bila berpaling ke arah kanan, saya tengok Dr Mahathir di sebelah. Di sebelah lain pula ada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng. Ini adalah fenomena baru dalam politik,” kata Presiden AMANAH itu dalam wawancara di pejabat FMT baru-baru ini.

Apa yang berlaku sukar dipercayai ramai rakyat Malaysia yang masih ingat permusuhan ketat pembangkang dan Dr Mahathir.

Ia juga sukar dipercayai Mat Sabu sendiri walaupun sebelum ini pernah bersilih ganti kawan dan musuh politik.

“Saya sebenarnya tidak menyangka akan melihat Dr Mahathir menjadi pembangkang. Malah turun ke gelanggang hampir setiap malam,” tambahnya.

Dr Mahathir masih berkempen untuk Umno pada pilihan raya 2013, tetapi skandal 1MDB membuatkannya membakar jambatan dengan parti Melayu itu.

Kini, Dr Mahathir, 92, yang terkenal menghalang demonstrasi dan perhimpunan pembangkang ketika pemerintahannya, giat menyertai program pembangkang.
Buka mata

Bagi Mat Sabu, apa yang berlaku adalah sesuatu yang dapat membuka mata mereka yang masih belum berubah daripada menyokong kerajaan.

“Selepas melihat Dr Mahathir sendiri mengkritik pemerintah sekarang, yang dahulunya beliau pimpin, saya rasa pelik jika kita tidak bersamanya,” katanya.

Mat Sabu pernah ditahan 2 kali di bawah tahanan Akta Keselamatan Negeri, kedua-duanya dengan lanjutan 2 tahun selepas penahanan awal 60 hari.

Penahanan pertama pada 1984-1986 ketika aktif dalam Pemuda PAS, dan kali kedua pada 1987-1989, antara lebih seratus ditahan dalam “Operasi Lalang”.

Ditanya sama ada beliau mengungkit semula kisah lama dengan Dr Mahathir, Mat Sabu berkata, perkara itu pernah disebut tetapi tidak dibalas Dr Mahathir.

“Mungkin beliau terharu melihat ramai tahanan ISA dulu kini bersama-samanya,” katanya, yang menambah penahanan adalah ujian biasa dalam perjuangan.

Mat Sabu berkata walaupun ketika Dr Mahathir menjadi sasaran pembangkang, kehebatannya dalam arena antarabangsa tidak dapat dinafikan.

“Kita akui beliau berjaya menjulang nama negara. Ucapannya dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) antara yang diminati selain presiden Amerika Syarikat, China dan (pemimpin Cuba) Fidel Castro. Negara Arab dan negara dunia ketiga akan hadir dan dengar,” katanya.

Secara berseloroh, Mat Sabu berkata “kadang-kadang kita rasa panas” apabila orang luar negara memintanya kirim salam kepada Dr Mahathir.

“Mereka tidak tahu kita baru keluar ISA,” katanya.

Mat Sabu menganggap apa yang berlaku dulu tidak akan menghalang kepentingan kerjasama dalam menentang BN.

“Asas ajaran Islam adalah berkata benar kepada pemerintah zalim, bukannya orang yang sudah pencen. Memandangkan beliau sudah lanjut usia, saya tidak fikir cita-citanya masih seputar kuasa.”

“Pengaruhnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun akan dapat meningkatkan sokongan rakyat. Saya melihat sendiri (sambutan) ketika program ceramah di kubu kuat BN sebelum ini,” katanya

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *