Ekoran sandiwara RUU 355 yang ditangguh bahas, Rafizi mahu dedah dana 1MDB kepada Pas

KUALA LUMPUR: Penangguhan perbahasan usul Rang Undang-undang Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat semalam telah menimbulkan kembali isu penyaluran dana kepada para pemimpin Pas oleh Perdana Menteri, namun kali ini membabitkan wang 1MDB.

Yakin bahawa isu RUU 355 akan dijadikan modal politik oleh Umno dan Pas bagi meraih sokongan rakyat, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak mahu menunggu lama untuk mendedahkan skandal tersebut memandangkan pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Bercakap pada sidang media ahli parlimen Pakatan Harapan di bangunan Parlimen sebentar sebaik usai sidang Parlimen semalam, Rafizi berkata harapan pemimpin Umno dan Pas supaya Pakatan Harapan berpecah ekoran sandiwara RUU 355 adalah meleset.

“Kami telah bersetuju untuk menangani isu ini (RUU 355) secara berhemah sebagai satu pakatan,” tegasnya.

Menurut Rafizi lagi, oleh kerana pilihan raya umum mungkin diadakan sebelum sidang parlimen akan datang, beliau tidak akan menunggu untuk mendedahkan dokumen berkaitan penyaluran dana 1MDB kepada para pemimpin Pas.

Walaupun pada awalnya Pakatan Harapan mahu mendedahkan isu ini secara berhemah, namun Rafizi berkata insiden hari ini (6 April) mendorong pendedahan itu dibuat segera.

Beliau juga menunggu reaksi daripada para pemimpin Pas dalam tempoh seminggu dua ini sebelum melakukan pendedahan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Rafizi tidak perlu membuat cabaran tersebut.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mahu Rafizi membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Rafizi tak perlu cabar, jalan terbaik adalah beliau membuat laporan kepada SPRM dan serahkan bukti itu untuk disiasat,” kata Takiyuddin kepada Malaysiakini.

Ketika diminta mengulas adakah Pas akan mendedahkan perkara tersebut jika mempunyai maklumat, Takiyuddin bagaimanapun menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Kalau kita ada maklumat kita akan siasatlah dan kalau ada kes kita akan serah kepada pihak berkuasa,” kata Takiyuddin.

Ditanya apakah motif di sebalik tindakan Rafizi itu, Takiyuddin berkata beliau juga tidak jelas berkaitan perkara itu.

“Saya pun tak faham (motif Rafizi) tapi saya rasa Rafizi bukan jenis begitu, saya pun terkejut juga.

“Saya tak dengar dari mulut dia sendiri dia cakap bagaimana. Jadi saya tak dengar, nak tengok dia cabar macam mana dan saya tak boleh nak komen lebih tapi secara umumnya begitulah,” tambah Takiyuddin.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *