Hanya Pas dibenar bahas RUU 355, Pandikar dituduh ‘takut’ apabila sidang parlimen ditangguh

DEWAN RAKYAT: Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan berang dengan tindakan Speaker Dewan Rakyak, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menggunakan kuasanya menangguhkan persidangan Dewan Rakyat petang semalam.

Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) mempersoalkan tindakan Pandikar yang disifatkan tidak adil kerana hanya membenarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan hujah.

“Beri kami peluang berbahas, Dewan Rakyat apa ini? Hari ini adalah hari Pas dan Umno saja. (Pandikar) tidak berani beri kita peluang berhujah, Islam ke ni? Islam ke ni? Malu… Islam bukan macam ini,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Manakala, Rafizi Ramli (PKR-Pandan) turut mempersoalkan tindakan Pandikar yang seharusnya memberi peluang kepada Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan berhujah.

Sewaktu kekecohan berlaku, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) menggelar Pandikar sebagai “ayam”.

Kemudiannya, teriakan “takut” dan “tidak berani” disuarakan ahli Parlimen pembangkang lain.

Ketika itu, hanya Takiyuddin dibenarkan berbahas tanpa sebarang sekatan oleh Pandikar kira-kira satu jam setengah.

Sebelum itu, selepas mendengar hujah Takiyuddin, Pandikar menyatakan rasa teruja dan mengakui beliau kini memahami makna Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Selepas saya dengar hujah Marang (Hadi) dan hujah sokongan dari Kota Bharu (Takiyuddin), saya benar-benar jelas mengenai RUU 355,” katanya.

Pandikar kemudiannya berkata, tidak mahu menjadi bodoh walaupun mempunyai kuasa sepenuhnya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

“Saya ingin kongsikan kata-kata hikmat dari seorang pemimpin Sabah yang terpahat dalam fikiran iaitu ‘when you are in power, you are powerfull, when you don’t use the power, you are bloody full, today i don’t want to be a bloody fool (apabila anda memiliki kuasa, anda berkuasa, apabila tidak gunakan kuasa, anda seorang yang bodoh, hari ini saya tidak mahu menjadi bodoh),” katanya.

Sesi perbahasan akan datang dijadualkan pada 24 Julai dan berakhir pada 10 Ogos tahun ini.

Tengah hari semalam, Hadi akhirnya diberikan peluang menghuraikan RUU 355.

Sewaktu huraian, Hadi menegaskan akta berkenaan hanya dikhususkan kepada umat Islam negara ini dan memberi jaminan tidak melibatkan orang bukan Islam.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *