Wanita AMANAH bidas prosedur temuduga pramugari Malindo Air buka semua pakaian

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud menyifatkan prosedur syarikat penerbangan, Malindo Air yang meminta calon bagi jawatan pramugari membuka pakaian termasuk bahagian dalam ketika sesi temuduga sebagai melampaui batas.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud

Beliau berkata, kenyataan pihak Malindo Air yang mempertahankan prosedur itu sebagai ‘normal’ adalah bercanggah dengan nilai masyarakat.

“Saya terkejut dan marah apabila membaca pendedahan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai prosedur menjijikkan itu ternyata melampaui batas dan tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja.

“Secara terang-terangan, itu merupakan penindasan dan gangguan seksual terhadap golongan wanita dan hak asasi manusia,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Amanahdaily.

Menurutnya, apa yang perlu diberi keutamaan dalam skop kerjaya tersebut sewajarnya lebih berbentuk kemampuan kakitangan memberikan layanan yang munasabah bukannya semata-mata berketrampilan seksi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Malindo Air menyatakan permohonan maaf kepada semua calon temuduga yang dipaksa melakukan perkara menjijikkan itu.

“Saya juga menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya segera memberi respon dalam isu ini kerana jelas wujud cubaan mengeksploitasi wanita.

“Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Sumber Manusia juga perlu mengambil tindakan segera dengan memberi amaran dan menggantung lesen operasi Malindo Air sebagai satu pengajaran yang tegas,” ujarnya.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2013, Malindo Air kini mempunyai 45 pesawat dalam perkhidmatan dengan 33 destinasi antarabangsa iaitu Indonesia (6), India (6), China (4), Thailand (3), Bangladesh (2) dan Vietnam dua destinasi.

Satu destinasi pula masing-masing di Hong Kong, Sri Lanka, Nepal, Pakistan, Australia, Singapura, Taiwan, Myanmar dan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menggesa satu siasatan diadakan bagi menyiasat sama ada prosedur keji itu pernah berlaku atau tidak sebelum ini.

“Hal ini penting supaya gangguan seksual seumpama ini boleh dikekang segera daripada berterusan berlaku. Saya menggesa calon wanita lain yang teraniaya dalam temuduga ini untuk tampil membuat laporan polis sebagai tekanan kepada Malindo Air,” gesanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *