Suhakam pertikai 2 seksyen Akta Polis 1967 yang disebut KPN sebagai alasan batal debat

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mempersoalkan Seksyen 3(3) dan Seksyen 20 (3) Akta Polis 1967 yang digunakan polis dalam membatalkan kebenaran majlis debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai berkata Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman seharusnya diberi lebih keutamaan berbanding akta yang dinyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar itu.

“Sama ada mereka mahu mengadakan debat atau tidak itu bukan kebimbangan kami tetapi apa yang kami bimbangkan ialah undang-undang yang melibatkan kebebasan bersuara, kebebasan menyuarakan hak.

“Yang membolehkan anda mengadakan perhimpunan di bawah peruntukan undang-undang dan anda tak perlukan kelulusan polis,” katanya kepada pemberita selepas Suhakam membentangkan Laporan Tahunan 2016 semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khalid yang polis sekadar menjalankan kuasa budi bicaranya apabila membatalkan kebenaran majlis debat antara Dr Mahathir dan Nazri.

FMT melaporkan, Khalid berkata tindakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada polis mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan ia digubal sekarang dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Seksyen 20 (3) akta sama juga memberikan polis kuasa budi bicara untuk menjalankan tugas itu demi kepentingan orang ramai.

Mah yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata tidak ada peruntukan dalam undang-undang yang mengatakan debat tidak boleh diadakan.

“Sebelum ini mana-mana perhimpunan yang mahu diadakan melibatkan 5 orang atau lebih mesti perlu mendapat permit daripada polis dan itu dimansuhkan serta digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail turut bersetuju dengan kenyataan Mah.

“Berdasarkan pemahaman saya, tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk menghalang debat,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *