Zahid Hamidi sahkan hampir 1,000 orang ditahan dibawah Sosma sejak 2012

KUALA LUMPUR: Seramai 979 orang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (Sosma) sejak hampir 5 tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahanan itu dibuat sejak 31 Julai 2012 hingga 22 Februari lepas.

“Akta ini digubal untuk mengadakan peruntukan bagi langkah khas berhubung kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

“Ini jelas menunjukkan Sosma merupakan undang-undang berbentuk prosedur manakala jenis kesalahan yang berkaitan dinyatakan di dalam Jadual Pertama Sosma,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah tahanan dibuat mengikut akta tersebut dan jenis kesalahan yang dilakukan.

Dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Zahid berkata 43 warga asing dikenakan tindakan di bawah Sosma kerana disyaki terbabit dengan elemen kumpulan pengganas IS di Malaysia.

Katanya, 8 sudah didakwa iaitu 3 di bawah Kanun Keseksaan, seorang di bawah Akta Pendaftaran Negara dan 4 di bawah Akta Imigresen.

Katanya, 27 orang diusir, 5 lagi masih dalam siasatan manakala baki 3 orang dibebaskan.

Zahid berkata sehingga kini, tiada program deradikalisasi dijalankan terhadap warga asing yang berada dalam tahanan.

“Kebiasaannya program pengusiran dibuat sebaik saja siasatan selesai dijalankan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *