Projek ECRL, China tentukan kontraktor, Malaysia kini dijajah kuasa asing – Azan Ismail

Saya mengambil maklum jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan kontraktor bagi Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) telah ditentukan oleh kerajaan China dan syarikat pembinaan milik negara itu, China Communications Constructions Company (CCCC) yang melaksanakan projek tersebut.

Beliau berkata, Malaysia telah diberikan syarat-syarat pembiayaan yang menarik dan sebagai pertukaran pihak China akan mencalonkan kontraktor pilihan mereka dalam membina prasarana bernilai RM55 bilion itu.

1. Bagi saya, amatlah malang Malaysia tidak mempunyai hak untuk menentukan kontraktor pilihan dalam projek di negara sendiri. Malah, situasi ini akan menyisihkan syarikat-syarikat tempatan sehingga tidak akan berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi.

Pada pandangan saya, ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.

2. Kesan pinjaman modal daripada China ini, kelihatan kerajaan Umno BN yang terhutang budi seolah-olah berdiam diri dan tidak mempertahankan hak-hak Malaysia di kawasan Laut China Selatan.

Sebelum ini, Malaysia membantah keras kemasukan China di kawasan tuntutan bertindih di Kepulauan Spartly yang menjadi wilayah pertikaian serta perebutan antara negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Brunei, Taiwan, Indonesia dan Filipina.

3. Selain itu projek ECRL, kerajaan Malaysia juga telah menjual beberapa aset strategik negara seperti Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kepada China untuk mengurangkan hutang 1MDB.

4. Projek ECRL ini juga menelan kos terlalu tinggi. Kos yang sepatutnya adalah separuh daripada RM55 bilion. Manakala pembiayaan daripada China adalah berbentuk pinjaman, yang bermaksud pembayar cukai dan generasi akan datang wajib membayar kembali pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada hari ini.

Di samping itu, projek ini juga tidak lepas daripada isu syarat-syarat pembayaran balik dan berapakah kadar faedahnya yang tidak dijelaskan secara telus oleh kerajaan Umno BN.

4. Bagi saya, situasi ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mula dijajah oleh kuasa asing melalui dominasi pekerjaan, pemberian projek dan hutang 1MDB yang sukar dibayar.

Dalam hal pekerjaan, projek ECRL ini juga dijangka tidak akan memberi faedah yang besar kepada rakyat kerana China dijangka akan membawa masuk pekerja serta bahan binaan daripada Tanah Besar.

YB AZAN ISMAIL
ADUN Bandar
Parti Keadilan Rakyat
3 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *