Mengapa memilih perceraian sebagai jalan keluar kepada polemik dan sumpah taklik talak 3?

Andainya saya berpeluang atau dirujuk secara peribadi oleh sesiapa yang berkenaan, saya akan memberi pandangan pandangan berikut untuk dipertimbangkan berkaitan perkara di atas:

1. Bahawa pelanggaran taklik tersebut tidak menyebabkan jatuh talak kerana suami tidak ada qasad untuk menceraikan isterinya semasa taklik tersebut dilafazkan berdasarkan pendapat jumhur ulama’ mutaakhirin dan amalan yang diterimapakai oleh kebanyakan negara Islam sekarang, atau;

2. Bahawa pelanggaran taklik tersebut tidak menyebabkan talak menjadi jatuh serta merta kerana perkataan “akan tertalaklah…” memberi makna bahawa talak itu akan berlaku pada suatu masa yang tidak diketahui bila ianya akan berlaku, oleh itu lafaz taklik tersebut dianggap tidak sah dan tidak boleh menyebabkan jatuh talak, atau;

3. Bahawa pelanggaran taklik tersebut telah jatuh satu talak sahaja berdasarkan pendapat jumhur ulama yang mengatakan talak tiga sekaligus dikira satu talak sahaja, atau;

4. Bahawa jika pelanggaran taklik itu belum berlaku, suami boleh membatalkan takliknya dengan bercerai secara tebus talak, kemudian melakukan perbuatan yang ditaklikkan, selepas itu membuat akad nikah baru antara keduanya.

Saya secara peribadi amat cenderung kepada pandangan yang pertama.

Adapun perihal sumpah, ulama sepakat mengatakan setiap sumpah boleh dibatalkan atau ditarik balik, bahkan dalam keedaan tertentu, sumpah haram dilaksanakan dan wajib ditarik balik dengan membayar kafarah sumpah.

Adapun bai’ah, ianya merupakan akujanji antara dua pihak yang saling berkepentingan tertakluk kepada syarat syarat atau asas mengapa bai’ah tersebut dibuat, bila syarat atau asasnya telah berubah, atau tiada, maka bai’ah tersebut telah terbatal atau boleh dibatalkan.

Perkahwinan yang telah berlaku adalah sesuatu yang yakin yang dibina atas hukum syarak, adapun perceraian yang didakwa telah wujud adalah satu anggapan peribadi yang didorong oleh dendam politik, bukan semata mata kerana hukum syarak.

>> Komentar bebas Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed I 4 April 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *