AMANAH sangkal dakwaan orang Melayu kononnya terpinggir dalam Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad menyifatkan dakwaan kononnya orang Melayu terpinggir dalam Pakatan Harapan (PH) adalah satu mitos.

Menurutnya, tiga daripada empat parti yang menganggotai PH pada masa ini mempunyai majoriti ahli terdiri daripada Melayu.

“Kalau ingin dilihat dari sudut kaum, sepatutnya orang Melayu lebih selesa melihat pada PH berbanding BN.

“Ini adalah kerana tiga daripada empat parti anggota PH adalah parti majoriti Melayu dan parti keempat (DAP) juga mempunyai keahlian Melayu,” ujarnya dipetik daripada artikel beliau di akhbar mingguan Amanah Edisi 45.

Beliau berkata, pengasingan kaum mengikut parti tidak berlaku dalam PH berbeza dengan BN yang pada dasarnya merupakan gabungan parti berasaskan kaum.

“Dalam BN mungkin hanya Umno boleh mendakwa memperjuang dan mempertahankan kedudukan orang Melayu sepertimana terjamin dalam perlembagaan.

“Tidak mungkin MCA dan MIC boleh mendakwa begitu kerana tiada Melayu dalam MCA atau pun MIC. Begitu juga parti-parti lain dalam BN. Hanya Umno ‘parti Melayu’ dalam BN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan perlunya sebuah parti Melayu memimpin Pakatan Harapan untuk menyakinkan pengundi Melayu supaya menyokong gabungan parti terdiri daripada Amanah, PKR, Bersatu dan DAP itu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, persoalan dominasi kaum lain terhadap kaum Mealyu hampir mustahil berlaku dalam Pakatan Harapan bahkan sememangnya tidak memperjuangkan dominasi mana-mana kaum ke atas kaum lain.

“Oleh itu, ianya satu mitos bahawa Melayu terpinggir dalam PH. Kepimpinan Melayu terserlah dalam PH selama ini tetapi ditutup dan diselindung daripada mata rakyat Melayu melalui fitnah jahat BN,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menekankan naratif Pakatan Harapan berteraskan keadilan dan prinsip urus tadbir yang baik serta beramanah yang akan memajukan Melayu dan semua kaum di negara ini.

“Prinsip keadilan di mana yang miskin diutamakan berbanding yang kaya, yang lemah berbanding yang kuat sedangkan naratif BN adalah dominasi kaum Melayu tanpa mementingkan prinsip dan keadilan.

“Sedangkan pemimpin Melayu membuat sesuka hatinya. Asalkan yang di atas itu Melayu maka dia disokong walaupun yang turut dideranya di bawah adalah kebanyakannya Melayu,” tegas Khalid lagi.

Dapatkan akhbar Amanah Edisi 45, 2-8 April di pasaran sekarang yang juga memuatkan artikel Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Biro Undang-undang Amanah, Mohamed Hanipa Maidin

Turut menulis Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah serta tulisan Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed melalui ruangan khas, Tanweer Usbu’ii (Pencerahan Mingguan).

Analisis menarik mengenai senario politik semasa sehingga perkembangan seni budaya juga boleh diikuti menerusi kupasan kolumnis Ahmad Lutfi Othman, Abdul Shukur Harun, Dinsman, Lim Hong Siang dan Adam Adli.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *