Speaker tegur ramai Adun pembangkang ponteng sidang Dun Selangor

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Hannah Yeoh kecewa dengan jumlah kehadiran Adun pada persidangan kali ini, terutama dalam kalangan pembangkang.

Yeoh berkata, Adun sepatutnya hadir pada sesi soalan lisan di dalam Dewan bagi mendapatkan penjelasan kerajaan negeri mengenai pelbagai isu.

“Ahli-ahli Yang Berhormat semua, sesi pertanyaan sangatlah penting untuk
memahami polisi kerajaan negeri.

“Saya kecewa dengan kehadiran Adun terutama pembangkang kerana ini sesi penting untuk mendapatkan segala jawapan yang diperlukan.

“Hanya selalu saya nampak (Adun) Dengkil seorang yang hadir,” katanya di Dun Selangor di sini, hari ini.

Beliau juga mencadangkan Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif untuk menjadi ketua pembangkang susulan ketidakhadiran Adun pembangkang lain pada sidang Dun sidang kali ini.

“Saya cadang Dengkil, jadi ketua pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrum kemudian bangkit mempersoalkan ramai wakil rakyat kerajaan negeri juga tidak hadir ke sidang Dun.

“Sebelah sana pun ramai tak hadir,” katanya.

Yeoh membalas: “Dengkil, saya cuma berkata ‘terutama’ ramai yang tidak hadir dalam kalangan pembangkang.”

Terdahulu, ketika sesi soal jawab, ramai wakil rakyat tidak hadir membacakan soalan kepada kerajaan negeri.

Ia menyebabkan banyak soalan terpaksa “dilepaskan” tanpa jawapan.
Mengikut peraturan, setiap soalan perlu dibaca oleh wakil rakyat yang bertanya untuk membolehkan ia dijawab.

Jika tiada, speaker perlu lepaskan dan beralih ke soalan seterusnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *