Pas Selangor tunggu arahan pusat untuk keluar kerajaan negeri, bimbang AMANAH ganti

SHAH ALAM: Pas Selangor hanya menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sama ada kekal atau keluar dari kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau tidak mahu mendahului arahan walaupun berdepan tekanan di media sosial.

“Sekarang ini tiada arahan untuk keluar daripada kerajaan negeri dan kita akan teruskan (berada dalam kerajaan negeri),” katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor.

“Sekarang ini ramai orang yang lebih presiden daripada presiden,” tambahnya, yang juga exco kerajaan negeri.

Pas mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan AMANAH, sekutu PKR dalam Pakatan Harapan, lapor FMT.

PKR memimpin Kerajaan Selangor, yang disertai Pas, DAP dan AMANAH, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan nasib kerjasama antara kedua parti akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah, selepas beberapa kawasan termasuk di Selangor meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.

Iskandar sebelum ini memberi amaran tindakan memutuskan kerjasama dengan PKR hanya akan membuka laluan kepada AMANAH.

“Kita tidak takut hilang jawatan…tapi kita takut AMANAH akan masuk (ke dalam pentadbiran Kerajaan Selangor).”

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *