Pakatan Harapan Perak gesa MB, Exco kerajaan negeri isytihar harta pada Sidang Dun

IPOH: Pakatan Harapan menggesa Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco Negeri Perak mengisytiharkan harta mereka kepada Dewan Undangan Negeri sempena persidangan yang akan bermula pada 4 April (Selasa) ini.

Kenyataan bersama Pakatan Harapan Perak itu diwakili Ketua Pembangkang Dun Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Ketua Whip DAP Datuk Ngeh Koo Ham dan Ketua Whip PKR Chan Lik Kang.

Kenyataan juga menyebut prinsip ketelusan, akauntabiliti & integriti dalam segala urusan pentadbiran kerajaan adalah sebahagian prinsip utama dalam perjuangan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan berpendapat pengisytiharan harta oleh Menteri Besar dan kabinet negerinya kepada institusi Dewan Undangan Negeri bukan saja akan membantu membela integriti kerajaan negeri, ia juga akan membantu mencegah skandal rasuah tanah sepertimana yang telah berlaku di Johor dan skandal projek pengairan dan saliran di negeri Sabah,” ujar kenyataan itu.

Pakatan Harapan berpendapat tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Kadir dan barisan Exco yang membuat akuan sumpah anti rasuah di depan Suruhanjaya Pencegaharan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, dakwa Pakatan Harapan tidak berguna.

“Ini kerana ia tidak mengikat dari segi undang-undang. Sikap Menteri Besar dan Exco yang enggan isytihar harta kepada Dewan Negeri sebaliknya menolak cadangan tersebut telah memberi pandangan cukup negatif terhadap pimpinan BN kerana ia terbukti gagal mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Sebenarnya negeri-negeri ditadbir oleh BN juga mempamerkan sandiwara atau wayang yang sama, kejadian rasuah bukan saja berulang tetapi jumlah duit rakyat yang disapu sudah sampai ke suatu tahap yang amat menggerunkan.

“Mengambil maklum bahawa skandal 1 MDB telah menjadi skandal kewangan terbesar di dunia dan kedudukan Malaysia dalam indeks transparency International kini menjunam ke tangga ke-55, iaitu kedudukan paling teruk sejak negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, maka Pakatan Harapan menggesa kerajaan melakukan reformasi ke atas institusi kerajaan termasuk pengisytiharan harta oleh ketua kerajaan iaitu Menteri Besar dan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, kenyataan sama menyebut sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, gabungan itu sedia memikul prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan, sekiranya Pakatan diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kerajaan Pakatan Harapan akan membuat pengisytiharan harta seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sekarang.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *