Kerajaan Selangor belum buat keputusan mengenai Projek Mega ECRL, kata Azmin

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor belum membuat sebarang keputusan dasar berkaitan projek mega Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Lembah Klang sehingga ke Kelantan, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu bagaimanapun berkata, hanya ada satu perbincangan di bawah Jawatankuasa Pemandu ECRL pada 25 Januari lalu, namun ia belum memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Azmin berkata, semua projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar dan penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Jawatankuasa Perancang Negeri.

“Di bawah peruntukan ini, setiap jabatan atau agensi kerajaan dikehendaki berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri berkenaan aktiviti pemajuan yang mahu dijalankan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cadangan pembinaan ECRL sepanjang 600km bernilai RM55 bilion ketika membentangkan Bajet 2017, yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan dan Terengganu serta Tumpat di Kelantan.

Projek itu dijadualkan bermula Julai 2017 dan dijangka siap pada Jun 2024.
Semalam, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin menggesa kerajaan negeri tidak memberi kerjasama kepada projek ECRL sehingga butiran projek itu diketahui.

Azmin yang juga adun Bukit Antarabangsa berkata, komponen pembangunan dalam setiap projek perlu diteliti bagi memastikan ia menepati dasar pembangunan negeri dari aspek teknikal, ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan kemungkinan kemajuan terkeluar daripada perancangan seterusnya yang akan menyulitkan penyelarasan dan pembangunan fizikal sesebuah kawasan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyediaan infrastruktur pengangkutan awam menyeluruh yang sistematik dan berorientasikan jaringan, sebagaimana digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian dan Pengangkutan Awam Selangor.

“Matlamat utama adalah untuk pastikan penggunaan pengangkutan awam pada nisbah 60:40 berbanding penggunaan kenderaan persendirian,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *