Kementerian Pendidikan Tinggi tak boleh terima PhD siap 10 bulan, itu doktor palsu

DEWAN RAKYAT: Sesiapa yang memperoleh sijil ijazah kehormat (PhD) dalam tempoh 10 bulan, ia sijil palsu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap.

Beliau berkata, penggunaan sijil PhD palsu adalah tindakan yang tidak boleh diterima dan kementerian turut bekerjasama dengan polis bagi mencegah penularan kegiatan ini.

“Sekiranya dapat tahu dan ada bukti pihak tertentu tidak dapat PhD dengan cara yang berintegriti, laporan boleh dibuat dan kementerian akan bekerjasama dengan polis.

“Tindakan tegas akan diambil dan saya sendiri tidak setuju dengan pihak yang menggunakan gelaran ‘doktor’ sekiranya mereka tidak dapat PhD dengan cara yang betul,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

PhD ialah ijazah tertinggi yang dianugerahkan sesebuah universiti. Penganugerahan tersebut dibuat setelah calon berjaya membuat penyelidikan yang mencapai standard PhD dalam sesuatu bidang.

Seseorang yang memperoleh ijazah PhD dipandang tinggi daripada segi keilmuannya dalam bidang kajiannya, lebih-lebih lagi kalau individu bergelar profesor.

Tempoh pengajian PhD lazimnya mengambil masa antara 3 hingga 6 tahun sekiranya dibuat secara sepenuh masa.

Bagi pengajian separuh masa tempoh yang diberi adalah sehingga 8 tahun bagi sesetengah universiti.

Yap berkata bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku, kementerian sedang merangka satu perisian yang membolehkan orang awam menyemak dan mengesahkan status PhD seseorang.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya pengguna ijazah palsu yang memperolehnya melalui laman web.

“Perisian yang sedang dibangunkan kementerian merupakan satu sistem senarai dari semua Institusi Pengajian Tinggi awam Malaysia (IPTA). Ia carian yang boleh dibuat secara manual sehingga 2016.

“Sistem ini, merangkumi senarai pemegang PhD, nama universiti, nama penerima, pengajian dan tesis serta tahun tamat pengajian,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *