Denda RM5,000 jika tidak lapor kes seksual kanak-kanak tegas Menteri Pembangunan Wanita

PUTRAJAYA: Individu yang didapati gagal membuat laporan ke atas jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan turut diheret ke muka pengadilan kerana dianggap bersubahat.

Peruntukan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang akan dibacakan untuk bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan antara lain menetapkan individu yang tidak melaporkan jenayah berkenaan akan dianggap bersubahat dan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000.

“Malah, jika semua ahli keluarga (mangsa jenayah seksual) gagal melaporkan jenayah berkenaan, mereka semua akan turut dikenakan tindakan undang-undang,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dipetik Bernama.

Menurut beliau, perkara itu diketengahkan dalam RUU berkenaan kerana sebelum ini kebanyakan kes jenayah itu tidak dapat dibawa ke muka pengadilan disebabkan kegagalan mendapatkan keterangan daripada saksi.

Mengikut statistik, 80 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa.

“Si pelaku ini termasuklah bapa, abang, bapa saudara dan kenalan keluarga lain yang mana kebanyakan kes gagal untuk diadili kerana keluarga tidak mahu membuat laporan bagi menjaga aib keluarga,” katanya.

Rohani berkata adalah sesuatu yang memilukan apabila mangsa tidak mendapat pengadilan yang sepatutnya kerana keluarganya tidak mahu menanggung malu.
“Saya tidak mahu satu hari nanti, negara kita akan menjadi syurga dalam kalangan pedofilia kerana kurangnya penguatkuasaan dan kesedaran yang menjadikan anak-anak kita mudah menjadi mangsa mereka,” katanya.

RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibentangkan di Dewan Rakyat, Selasa lalu untuk bacaan kali pertama.

Antara peruntukan baharu yang terkandung dalam RUU berkenaan termasuk kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak, aktiviti dandanan kanak-kanak, serangan seksual dan serangan seksual fizikal serta bukan fizikal.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *