Pemuda AMANAH desak ahli Parlimen undi tolak usul lanjutkan tempoh siasatan, bebaskan Siti Aishah

Negara sekali lagi dikejutkan dengan tangkapan penuntut sarjana Usuluddin di Universiti Malaya Siti Noor Aishah Atam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 28 Mac lalu.

Beliau sebelum ini ditahan dan didakwa dibawah SOSMA dan setelah perbicaraan, beliau dibebaskan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Namun, sejurus pembebasan beliau pada 29 September 2016, beliau ditahan pula di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang bertentangan dengan prinsip ‘double jeopardy’. Siti Noor Aishah kini ditahan sekali lagi di bawah SOSMA.

SOSMA dikategorikan akta drakonian kerana mengandungi peruntukan yang bertentangan dengan prinsip dan kaedah keadilan sejagat serta hak dan kebebasan asasi yang dijamin perlembagaan antaranya penahanan oleh pihak polis untuk tempoh 28 hari tanpa perintah reman, penangguhan konsultansi peguam, ditahan tanpa ikat jamin sepanjang tempoh bicara dan lain-lain lagi.

Ketidakadilan SOSMA ini memuncak dengan peruntukan seksyen 30 yang memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya untuk memohon secara lisan agar seorang yang telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan SOSMA ditahan sementara menunggu bicara rayuan selesai.

Peruntukan ini adalah zalim dan bertentangan dengan prinsip dan kaedah keadilan dan hak asasi. Yang menjadi mangsa kezaliman ini adalah Siti Noor Aishah sendiri di mana walaupun telah dibebaskan daripada sebarang kesalahan SOSMA, tetapi beliau telah ditahan semula.

Seharusnya doktrin bahawa ‘seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ terpakai di tahap tertinggi memandangkan walau pelbagai keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, masih tiada kesalahan yang beliau lakukan.

Tangkapan Siti Noor Aishah ini yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi seolah-olah menghukum beliau yang telah didapati tidak bersalah. Ia satu tindakan yang tidak demokratik dan tidak beperlembagaan.

Justeru, Pemuda AMANAH mendesak Pendakwa Raya yakni Peguam Negara segera membebaskan Siti Noor Aishah yang secara logik dan kehakiman tidak melakukan apa-apa kesalahan yang mengancam keselamatan negara di mana buku-buku yang dimiliki beliau yang menjadi asas pertuduhan di bawah SOSMA tidak pula diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pemuda AMANAH juga mendesak agar Kerajaan menghapuskan SOSMA sekadar segera kerana Akta ini secara jelas telah disalahgunakan untuk menzalimi rakyat Malaysia yang tidakpun terlibat dengan keganasan.

Langkah awal boleh diambil oleh ahli-ahli Parlimen untuk mengundi menolak usul Kerajaan dalam sesi persidangan Parlimen kali ini bagi melanjutkan kuatkuasa Seksyen 4 (5) SOSMA yang berkaitan dengan siasatan polis selama 28 hari bagi tempoh 5 tahun lagi yang bakal tamat pada 31 Julai ini.

Langkah awal ini adalah isyarat jelas kepada Kerajaan bahawa rakyat Malaysia menolak kezaliman yang menjadikan rakyat sendiri mangsa tindakan arbitrari dan autokratik pihak pemerintah.

>> Komentar bebas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil I 31 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *