AMANAH putus Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Aziz diteruskan 9 April ini

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa penganjur Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz mengambil keputusan meneruskan pengajuran seminar tersebut setelah bermesyuarat bagi membincangkan beberapa isu berkaitan program itu.

Turut serta pada mesyuarat itu Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) yang diwakili oleh Timbalannya, Wan Anwar Wan Ibrahim dan Dr Dzulqarnain Luqman.

Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir itu antara lain bagi mendapatkan nasihat perundangan berkaitan penganjuran program itu.

Mohd Anuar ketika ditemui berkata, program yang sudah mula mendapat publisiti meluas itu menunjukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah sosok penting bagi rakyat di negara ini.

“Kita akan tetap meneruskan seminar ini kerana ia sesuai dengan semangat untuk mengkaji dan mengambil pengajaran daripada tokoh-tokoh hebat negara.

“AMANAH berasa bertanggungjawab untuk memberi penghormatan yang setinggi-tingginya kepada seorang pemikir dan pemimpin pentadbir yang dikagumi ramai,” katanya.

Menurut Anuar, Tuan Guru Nik Aziz ialah ikon rakyat negara ini yang dihormati semua kaum malah disegani kawan dan lawan.

Sehubungan itu katanya, wajar pemikiran bekas Menteri Besar Kelantan ini dikembangkan dan diteruskan.

“Seminar ini adalah permulaan bagi perbincangan wacana serius dan ilmiah untuk menggali khazanah pengalaman pemimpin-pemimpin besar di rantau dan dunia ini,” katanya.

Program anjuran bersama AMANAH Nasional dan AMANAH Parlimen Batu itu akan diadakan pada 9 April ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLCAH).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *