Tragedi kren runtuh di Mekah, Arab Saudi masih belum bayar pampasan yang dijanjikan

DEWAN RAKYAT: Kerajaan hari ini mengesahkan masih belum menerima sebarang bentuk pampasan dari Arab Saudi kepada mangsa tragedi kren runtuh di Mekah 2 tahun lalu.

Dalam jawapannya di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa berhubung dengan Riyadh, tetapi membayangkan tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana ia “hak mutlak kerajaan Arab Saudi”.

“TH telah menyerahkan senarai nama jemaah yang terlibat kepada kerajaan Arab Saudi untuk tujuan pampasan.

“TH sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi dan akan memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan terkini daripada pihak terbabit,” katanya menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok).

Pada 11 Sep 2015, 111 orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera selepas sebuah kren tumbang berhampiran Masjidil Haram di Mekah, ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadat haji.

Mereka yang terbunuh termasuk 7 jemaah dari Malaysia.

Susulan itu, Raja Salman Abdul Aziz mengumumkan pampasan besar-besaran kepada keluarga mangsa yang melibatkan rakyat 12 negara.

Media Saudi melaporkan 1 juta riyal (RM1.17 juta) akan dibayar kepada keluarga mangsa yang terbunuh, manakala 500,000 riyal (RM587,574) akan dibayar kepada setiap mangsa yang cedera.

Asyraf turut memberitahu Dewan Rakyat, TH sehingga kini menyumbangkan RM43,000 kepada keluarga setiap mangsa.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *