Akan dicadangkan AMANAH anjur Seminar Pemikiran Yusuf Rawa, Fadzil Noor – Salahuddin Ayub

Dalam lipatan sejarah ketamadunan manusia, seseorang tokoh yang bertaraf dunia akan disoroti pemikiran dan sumbangan hasil kerjanya oleh warga dunia merentas sempadan bangsa, warna kulit, negara dan agama.

2. Tokoh-tokoh agung ini datang daripada pelbagai latarbelakang profesyen seperti politik, falsafah, ekonomi, sains dan agama. Mereka bukan “jaguh kampung” yang hanya disanjung oleh puak ataupun kelompok sendiri. Kehebatan mereka adalah faktor yang menyumbang kepada pencerahan ilmu , pemikiran dan tamadun manusia. Lazimnya, segala pemikiran besar tokoh-tokoh ini diungkap kembali setelah mereka meninggalkan dunia yang fana ini.
3. Wacana Intelektual adalah medan terbaik bagi melahirkan perbahasan yang sihat sekaligus mengangkat martabat cara berfikir manusia terhadap apa jua cabaran dan manusiawi itu sendiri. Ini adalah sifat sesuatu tamadun itu menerjah kemuncak tingginya. Apabila wacana ilmu dan pemikiran dianggap masalah atau penyakit yang ditakuti, maka itu adalah petanda malapetaka besar bakal menimpa.

4. Michael Hart menulis “The Hundreds Most Influencial Persons In History”. Dalam buku ini beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dalam rangking pertama bersama Albert Einstein, Aristotle, Napoleon, Che Geuvara dan Nelson Mandela, antara seratus tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Manakala John Esposito pula menyenaraikan Prof Yusuf Qardawi, Racib Tayeb Erdogan, Rashid Ghanoshei dan Imam Khomeni di dalam karyanya “500 Most Influential Muslims”. Ini membuktikan bahawa dalam wacana ilmu dan pemikiran, semua orang tanpa mengira siapa pun mereka berhak berwacana kerana pemikiran dan ilmu adalah hak universal kurniaan Tuhan.

5. Universiti tersohor dunia seperti Havard mengabadikan nama “JF Kennedy School of Politics” dan demikian juga Oxford mengiktiraf perjuangan Abraham Lincoln dengan “Lincoln’s School of Law”. Negara kecil Singapura melalui Universiti Nanyang meletakkan nama Lee Kuan Yew di LKY School of Politics and Foreign Affairs.

6. Adalah pelik dan menjengkelkan apabila ada kelompok manusia yang marah dan risau apabila ada pihak yang mahu menganjurkan Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz. Bagi saya sejujurnya, TGNA adalah seorang tokoh dan negarawan yang juga dimiliki rakyat dan negara. Tidak keterlaluan jika ada di antara kita yang menganggap beliau adalah tokoh dunia pada kelasnya yang tersendiri.

7. Mungkin dalam Mesyuarat Bulanan Amanah minggu depan, saya akan mencadangkan supaya ada individu, NGOs dan pertubuhan politik menganjurkan wacana dua orang lagi tokoh besar yang lain iaitu almarhum Hj Yusuf Rawa dan almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Noor. Pemikiran politik kedua-dua orang tokoh ini juga sangat besar kesan dan pengaruhnya dalam merubah paradigma patern budaya politik negara ini. Saya berharap waris kepada kedua-dua mereka bolehlah bersiap untuk menyaman saya ke mahkamah.

#AmanahDemiNegara

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
28 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *