Rakyat terus terbeban, kubis bulat dulu 90 sen sekarang RM3 kata Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Lesen import (AP) dan nilai mata wang ringgit yang lemah menyebabkan harga sayur-sayuran seperti kubis bulat semakin mahal, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Rafizi menjelaskan, GST menyebabkan kos pengeluaran sayur tempatan meningkat, memaksa Malaysia bergantung kepada sayur import yang dikawal segelintir pemegang AP bagi menampung kekurangan bekalan dan permintaan pasaran.

Nilai mata wang ringgit yang lemah dan kadar inflasi 4.5% memburukkan keadaan, kata Rafizi merujuk laporan ketua perangkaan negara minggu lalu.

“Laporan menyebut kenaikan mendadak didorong 3 kumpulan perbelanjaan terbesar iaitu makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan yang merangkumi sewa, elektrik, air dan gas.

“Laporan juga menyebut pengenalan GST menyebabkan kos pengeluaran sayur tempatan meningkat. Jadi perusahaan sayur tidak untung dan dan perlu ditambah dengan import sayur.

“Nilai ringgit yang lemah menyebabkan import sayur menjadi lebih mahal sehinggakan kubis bulat pada satu ketika dulu berharga 90 sen sekilo menjadi RM3,” katanya.

Menurut Rafizi, AP tertakluk kepada kuota tertentu dan hanya segelintir peniaga yang dibenarkan mengimport, mendorong pembekalan barang makanan tertentu dikawal segelintir pihak.

“Dengan adanya AP ini menjadikan harga kubis bulat melonjak sehingga 29.7% pada Februari lalu berbanding setahun lepas,” katanya.

Rafizi mendakwa kenaikan harga sayur-sayuran membuktikan kegagalan pengurusan ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tidak masuk akal negara yang kaya dengan sumber alam, iklim yang baik dan kepelbagaian sumber lain tidak dapat menanam sayuran mencukupi bagi kegunaan penduduknya hingga terpaksa mengimport dari luar negara.

Rafizi mengusulkan keseluruhan sistem perdagangan melibatkan barang makanan keperluan utama seperti sayur-sayuran dikaji semula.

“Saya akan mengusulkan di dalam Pakatan Harapan supaya cadangan merombak kembali sistem perdagangan makanan dengan tujuan menghapuskan monopoli segelintir peniaga dan diangkat menjadi dasar rasmi Pakatan Harapan.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *