MP Batu Gajah cadang kos hospital swasta dikawal, kurangkan beban hospital kerajaan

KUALA LUMPUR: Salah satu langkah bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung hospital kerajaan hari ini adalah dengan memudahkan rakyat menerima rawatan di hospital swasta.

Mencadangkan perkara itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata buat masa ini, hanya golongan berada yang mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana kosnya yang tinggi.

Kos tinggi berkenaan, katanya, adalah disebabkan kurangnya kawalan kerajaan dalam mengenakan had maksima kepada hospital swasta, sehingga mereka berpeluang meletakkan caj tinggi terhadap pesakit, lapor Roketkini.Com.

“Sebagai contoh, had siling atau had minima hanya dikenakan kepada beberapa caj seperti caj profesional dan caj perundingan.

“Tapi kerajaan tak ambil insiatif untuk kawal kos penginapan, caj peralatan, caj ujian makmal dan ubat-ubatan,” katanya dalam sesi perbahasan peringkat dasar RUU Perbekalan Tambahan (2016) di parlimen, semalam.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu, ketiadaan kawalan telah memberi peluang kepada hospital swasta mengenakan caj yang terlalu tinggi kepada pelanggan mereka.

“Lebih-lebih lagi terhadap pelanggan yang mempunyai kad insurans perubatan. Caj rawatan sengaja dilambung naik,” ujarnya.

Sivakumar menambah, caj perubatan yang tinggi kemudiannya akan mendorong syarikat insurans mengenakan kadar premium yang tinggi, dan akhirnya membebankan pesakit.

“Saya cadangkan agar lebih ramai orang dapat memiliki kad perubatan.

“Secara tak langsung, ia akan membolehkan orang kurang berada mendapat rawatan di hospital swasta, dan mengurangkan beban hospital kerajaan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *