Dialog Sinar Harian antara Tun Mahathir dengan Nazri Aziz boleh jadi bahas Nowhere2Hide

Penganjur kata dialog. Umum kata debat. Tun Dr Mahathir kata bahas. Mohamed Nazri Abdul Aziz kata Malaysia bukan “police state”. Penganjur yang berani, gigih dan bebas adalah akhbar Sinar Harian.

Asalnya bahas itu dicadangkan hari ini, 25 Mac, di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. Dr Mahathir setuju. Nazri setuju.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed Rahmat pun kata, Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi setuju.

Tapi nampaknya yang lebih berkuasa adalah OCPD Kuala Kangsar. Nama dia Ahmad Termizi Abdul Haq. Dia kata tak boleh.

Daripada kenyataan dia, kita bolehlah simpulkan yang polis tak yakin mereka mampu jamin keselamatan, keamanan, perlindungan hak dan kebebasan awam kalau bahas itu diadakan.

Saya rasa saya tak cukup cerdik nak faham maksud tersirat Tuan OCPD itu. Maklumlah ini bukan kes curi ayam, mengintai anak dara mandi atau curi pakaian dalam wanita.

Nazri tak puas hati. Dia kata Malaysia bukan “police state” – negeri di mana polis berkuasa.

Itu dia kata. Melainkan dia dungu atau kena sihir mandram, dia tentu perasan yang bos dia, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sangat bergantung kepada polis.

Maka ulat-ulat pun merangkaklah keluar dari lubang-lubang kayu reput untuk menyokong bos MO1 mereka.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani kata Nazri tidak wakili kerajaan. Dia kata isu 1MDB dah dibincang dalam Parlimen.

Bincang macam mana kalau laporan Ketua Juruaudit Negara (Tan Sri Amrin Buang) diOSAkan?

Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa, pula kata Nazri bukan wakil Umno.

Jadi Nazri ni wakil siapa?

Nazri kata dia wakil Padang Rengas.

Dr Mahathir kata dia tak peduli apa yang mereka kata.

Yang dia peduli, dia akan dedah segala-gala yang dia tahu tentang 1MDB, Forest City dan jawab kerugian perniagaan mata wang Bank Negara yang Najib sedang siasat sekarang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad, akan jadi pemudah cara (moderator).

Tapi kita jangan harap sangat. Geng “everything2hide” mungkin buat macam-macam helah untuk sabotaj bahas ini pasal mereka ada macam-macam yang nak disembunyikan daripada pengetahuan rakyat jelata.

Macam mana pun kita kena asak sampai mereka ni jadi nowhere2hide – tak ada tempat nak sembunyi. Wallahuaklam.

>> Komentar bebas bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk A Kadir Jasin I 29 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *