Anjur Seminar TGNA tidak bersalahan, ia bukan sesuatu bersifat jenayah – Hanipa Maidin

Beberapa orang daripada keluarga mantan Menteri Besar Kelantan iaitu almarhum Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat dilaporkan telah membuat laporan polis ke atas parti AMANAH di Pengkalan Chepa.

Laporan polis yang dibuat itu diketuai oleh Ahli Parlimen Pair Mas dan beliau diiringi oleh beberapa orang anak dan adinda Almarhum.

Isu laporan polis itu adalah berkaitan dengan cadangan seminar yang ingin dibuat oleh AMANAH berkenaan dengan almarhum.

Dilaporkan juga berita yang Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga tidak teragak agak untuk menyaman AMANAH jika terus menggunakan nama almarhum.

Saya merasa terpanggil untuk menulis artikel ini kerana isu laporan polis dan hasrat nak menyaman itu, bagi saya, ada kaitan dengan isu undang -undang.

Dengan lain perkataan, adakah AMANAH telah melakukan jenayah kerana ingin nak menganjurkan seminar mengenai almarhum sehingga satu laporan polis perlu dibuat untuk meminta polis menyiasat perkara tersebut.

Dari perspektif undang undang, bila laporan polis dibuat, wujudnya satu anggapan bahawa suatu jenayah telah dilakukan.

Maka polis perlu dilibatkan sama untuk menyiasat jenayah tersebut. Begitu juga tentang hasrat ingin menyaman AMANAH. Ia juga ada kaitan dengan undang -undang.

Bila kata nak menyaman AMANAH, para peguam akan bertanya adakah wujudnya apa yang dikatakan “kausa tindakan” (cause of action) untuk saman AMANAH kerana nak adakan seminar mengenai almarhum Tuan Guru?

Dengan penuh hormat kepada keluarga almarhum Tuan Guru tersebut, bagi saya, tindakan AMANAH untuk mengadakan seminar mengenai almarhum tersebut bukan satu jenayah. Ia juga bukan satu kesalahan dari segi undang undang yang membolehkan AMANAH untuk disaman.

Bagi saya, tindakan membuat laporan polis itu dan hasrat ingin menyaman itu tidak lebih daripada hanya satu gempak politik semata- mata.

Maka, sebagai penasihat undang undang AMANAH, saya akan nasihat parti untuk teruskan seminar tersebut.

Mungkin Ahli Parlimen Pasir Mas tidak sedar dengan tindakan beliau dan beberapa orang lagi tersebut membuat laporan polis dan nak saman AMANAH, ia tidak secara langsung membantu AMANAH mempromosi seminar itu secara percuma.

Jika ramai yang akan hadir dalam seminar itu nanti, AMANAH kena ucapkan jutaan terima kasih jepada Ahli Parlimen Pasir Mas yan tentunya sedang sedih kerana baru sahaja tewas dengan teruk dalam pemilihan di peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Sebenarnya ramai orang pelik dan hairan mengapa laporan polis dibuat ke atas AMANAH kerana nak buat seminar mengenai almarhum.

Sepatutnya bila ada pihak ketiga ingin buat seminar mengenai almarhum supaya orang ramai tahu bagaimana pemikiran almarhum, keluaraga almarhum yang buat laporan polis itu sewajarnya berbangga.

Maknanya ada orang yang ingat jasa almarhum. Yang lebih baik lagi Ahli keluarga tersebut turut serta menyertai seminar tersebut. Bukan buat laporan polis atau nak saman.

Mengadakan seminar mengenai Tok Guru adalah satu kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bila melibatkan hak dan kebebasan dalam Perlembagaan, itu bukan kerja polis untuk siasat. Dan itu juga bukan juga kerja Ahli Parlimen Pasir Mas nak saman.

Nasihat saya kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, berilah tumpuan untuk saman Sarawak Report dan berubahlah jadi macam almarhum ayah yang terus lawan Umno sampai mati.

Mohamed Hanipa Maidin
Pengerusi Biro Kanun AMANAH nasional
27 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *