Adun Selangor cadang tabung khas kutip caj 20 sen beg plastik disalur ke setiap Dun

SHAH ALAM: Adun Pakatan Harapan, Ng Suee Lim mencadangkan kerajaan Selangor memperkenalkan tabung khas mengurus kutipan caj beg plastik 20 sen secara telus, yang kemudiannya disalurkan kepada setiap kawasan Dun.

Bercakap di sidang Dewan Negeri Selangor semalam, Suee Lim (DAP-Sekinchan) berharap pengenalan tabung khas ini akan meyakinkan rakyat mengenai matlamat kerajaan negeri mengenakan caj penggunaan beg plastik, lapor FMT.

“Soal ketelusan ini ada sedikit masalah. Saya cadang kerajaan negeri kaji lebih mendalam berhubung kutipan caj 20 sen. Kita perlu ada satu tabung khas di peringkat DUN, dan mana-mana premis yang kutip caj tersebut kena ada rekod.

“Kemudian kita salurkan ke seluruh negeri untuk kebajikan di setiap DUN atas nama kerajaan negeri dan kerjasama swasta. Saya rasa rakyat sanggup bayar selepas Umno-BN ‘cucuk’ rakyat seolah kita curi wang tersebut,” katanya.

Sebelum itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong menjelaskan caj tersebut dikutip peniaga seperti mana penjualan produk lain.

Menjawab pertanyaan lisan Haniza Talha (PKR-Taman Medan), Elizabeth berkata kerajaan negeri mengalakkan peniaga menggunakan hasil kutipan itu untuk melaksanakan program pembersihan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Contohnya program pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan pasaraya Speedmart 99 menyumbang kira-kira RM1 juta kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta pasaraya Giant menjalankan program sendiri dikenali ‘Sentuhan Hijau’ membabitkan aktiviti kepenggunaan dan alam sekitar.

“Bagi tujuan pemantauan dan penambahbaikan ke atas pelaksanaan kempen ini, kerajaan mengadakan sesi perjumpaan dan mesyuarat secara berkala bersama pihak peniaga bagi memantau laporan penyaluran kutipan serta aktiviti akan dilaksanakan pihak peniaga.

Beliau juga berkata pengenaan caj ini diharap mengalakkan pengguna membawa beg sendiri ketika membeli-belah, daripada mengharapkan peniaga menyediakan beg kertas sebagai alternatif.

“Ini kerana beg kertas sendiri memerlukan sumber tenaga yang banyak untuk dihasilkan serta tidak mudah terurai di tapak pelupusan namun kerajaan negeri tidak pernah sesekali melarang sekiranya peniaga membekalkan beg kertas sebagai alternatif,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *