Speaker terburu-buru ‘kurung’ wartawan Parlimen gambar refleksi pemikiran pemerintah

Di kala Dewan Rakyat siap dibangunkan semula, nilai pembangunan tersebut gagal mencerminkan satu perubahan struktur dan falsafah Parlimen itu sendiri. Tindakan menghalang petugas media ini sebenarnya refleksi pemikiran pemerintah yang tidak menghargai prinsip demokrasi.

Malah, ini jelas menunjukkan Parlimen Malaysia masih mundur dan berada di tampuk yang lama.

Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menghalang wartawan bertugas di ruang legar Dewan Rakyat memberikan persepsi kurang sihat ke atas sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Media ‘dikurung’ oleh Dewan Rakyat meskipun berada di sebuah institusi yang menjadi simbol kebebasan bersuara dan kemerdekaan.

Perkara ini bukti keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak demokratik dan memberi persepsi negatif untuk pembangunan demokrasi di Malaysia.

Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggunakan Peraturan Mesyuarat 94 yang membolehkan beliau membuat keputusan atas kapisiti Yang Dipertua Dewan Rakyat memaparkan sikap terburu-buru Parlimen dalam menyelesaikan sesuatu isu tanpa mengikut lunas demokratik.

Tindakan ini diambil selepas beliau menerima aduan daripada wakil rakyat, namun beliau tidak mendedahkan wakil rakyat mana yang membuat aduan tersebut. Malah, Dewan Rakyat juga tidak dimaklumkan berapakah jumlah wakil rakyat yang membuat aduan tersebut. Jika hanya seorang wakil rakyat yang mengadu kepada Speaker, maka tidak munasabah untuk menghalang wartawan di ruang legar Parlimen.

Pandikar harus belajar daripada keputusan Timbalan Yang Dipertua Parlimen Afrika Selatan, Lechesa Tsenoli yang membuat perbincangan bersama media ketika memperkenalkan ‘ruang media’ baharu di Parlimen mereka awal tahun ini.

Tindakan Timbalan Speaker ini membuka ruang perbincangan yang sihat dalam meastikan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat bersama. Bukan hanya bersifat kendiri dan menyelesaikan masalah dengan cara yang mudah.

Bantahan wakil media dan ahli-ahli Parlimen pembangkang bukanlah satu perkara yang jangal dan melangkaui batas perunduangan. Ahli Parlimen pembangkang di Poland juga membantah keputusan Speaker Parlimen Poland yang mengawal dan mengehadkan aktiviti media dalam memberi liputan tentang perjalanan Parlimen.

Justeru, tindakan membantah keputusan ini harus dipandang dari sudut memperkukuhkan kebebasan maklumat untuk orang awam dan memudahkan wartawan bertugas dengan lebih efektif. Bukan sekadar hanya mahu menjaga ‘keselamatan’ beberapa kerat wakil rakyat dan Menteri yang berselindung ketika berhadapan dengan soalan wartawan.

Di mana Pengurusan Media di Parlimen?

Pengurusan media di Parlimen begitu penting dan setiap Parlimen di dunia seperti Kanada dan Australia turut merangka peraturan dan hak para media apabila berada di Parlimen. Perancangan ini membantu wartawan dalam mengetahui limitasi dan hak mereka sewaktu bertugas di Parlimen.

Di Parlimen Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat bertanggungjawab menguruskan perjalanan wartawan dan media semasa Dewan Rakyat dan Dewan Negara berlangsung. Hakikatnya, jabatan ini tidak memainkan peranan aktif dalam memastikan jaminan kemudahan dan kebebasan wartawan membuat laporan sidang parlimen.

Setakat ini, Parlimen Malaysia masih gagal mengeluarkan garis panduan kepada pengamal media mengenai hak dan limitasi mereka. Berbeza dengan Parlimen Australia yang menetapkan peraturan kepada petugas media di Parlimen sehingga menjadikannya sebagai undang-undang di bawah Parliamentary Precincts Act 1988 yang turut dibahas dan dipersetujui oleh ahli Parliamen melalui pengundian.

Justeru, ia jelas memperlihatkan Parlimen Malaysia masih tidak serius dalam melakukan perubahan struktur demi mencapai sistem demokrasi berparlimen bertaraf dunia pertama, termasuklah dalam aspek pengurusan media.

Kelompongan ini berterusan apabila Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia tidak berjumpa dengan para wartawan untuk membincangkan cadangan mereka memilih ruang yang strategik bagi membuat liputan di ruang legar Parlimen.

Amat menghairankan apabila setiausaha akhbar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pula berjumpa dengan wartawan di bilik media untuk meminta pengamal media akur dengan perintah Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Soalnya, mengapa mereka berdua perlu berjumpa dengan wartawan sedangkan mereka mewakili badan eksekutif?

Berbaki dua minggu persidangan Dewan Rakyat, usaha memberi ruang membuat liputan kepada pengamal media yang secukupnya perlu disegerakan. Untuk jangka masa pendek, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia perlu mengadakan sesi dialog dan perbincangan bersama pengamal media.

Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak memberi pandangan secara langsung.

Pandikar perlu membawa isu ini kepada Jawatankuasa Dewan dalam memutuskan ketetapan untuk menambah baik kedudukan dan hak pengamal media sewaktu bertugas di Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 79.

Jawatankuasa Dewan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan enam ahli Parlimen pelbagai parti politik perlu menggariskan satu peraturan yang bakal menjadi rujukan kepada media yang bertugas.

Peristiwa ini juga menandakan betapa pentingnya Parlimen Malaysia. Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 perlu dikembalikan bagi membebaskan Parlimen daripada cengkaman Jabatan Perdana Menteri.

Akta ini perlu ditambah baik dengan memberi garis panduan kepada media dalam menjalankan hak dan tugas mereka di Parlimen. Justeru, akta ini memberi ruang kepada bebas daripada campur tangan dan tekanan daripada menteri dalam urusan Parlimen Malaysia.

Mohammad Fakhrurrazi Rashid
Pembaca FMT
25 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *