Pakatan Harapan harus terus yakinkan politik baharu dengan langkah awal kukuhkan permuwafakatan mereka

Setiap fenomena politik menjadi lebih sensasi bila ia telah berkembang ke tahap baru kerana ia akan disusuli dengan persoalan lepas ini apa pulak? Keterujaan membaca langkah seterusnya memenuhi ruang spekulasi samada dalam nada optimis atau pesimis.

Fenomena awal ruang politik Malaysia ialah cabaran sengit pembangkang terhadap penguasaan Umno-BN selama ini. Pada tahun 2008 kejayaan menafikan 2/3 majoriti BN di Parlimen memecah kesunyian dalam politik Malaysia.

Fenomena DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengekalkan momentum seterusnya dalam PRU 2013 membuktikan ia bukan bermusim tetapi suara kental rakyat mencabar juara bertahan.

Pasca PRU 2013 menyaksikan ‘kelegaan’ sedikit bagi pihak Umno-BN kerana perpecahan Pakatan Rakyat dengan Pas menjadi faktor utamanya.

Apa yang kelihatan perbalahan anggota PR adalah sebenarnya perancangan disengajakan dengan umpan RUU 355 aka Hudud (bagi sesetengah pihak) yang dilontarkan jorannya oleh Umno.

Kegagalan menguruskan konflik dalaman PR adalah ‘nikmat besar’ bagi Umno yang kini lebih yakin dapat bertahan.

Namun 2015 adalah igauan bagi juara bertahan kerana leburnya golongan progresif dalam Pas yang dibuang cara terancang telah melahirkan Gerakan Harapan Baru yang berazam menyatukan semula pakatan yang rapuh.

Pada 16 September 2015 Parti Amanah Negara atau singkatannya AMANAH telah mencetuskan semangat menghidupkan semula pakatan pembangkang.

Pada 22 September lahir Pakatan Harapan menyatukan semula PKR, DAP dan pendatang baru AMANAH. PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi pada Muktamar 2014 sememangnya dijangka tidak akan bersama. Kesegaran ini melemaskan Umno.

Tanpa disangka lahir parti baharu dari usaha dalaman Umno yang mahukan Najib disingkirkan melalui Gerakan Ketua-Ketua Cawangan (GKCM). Tun Mahathir menggerakkan platform Deklarasi Selamatkan Malaysia pada 4 Mac 2016 dengan inisiatif sejuta tandatangan.

Ia telah membawa satu tahap baru politik yang lahir penentangan daripada perut Umno sendiri.

Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) lahir pada awal tahun 2017 menyatakan hasrat menentang Umno dan telah menarik sebahagian besar ahli Umno menyertainya.

Lebih menarik PPBM bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam formula Pakatan Harapan-Bersatu.

Namun tahap baru lebih menarik ialah beberapa bulan kemudian pada Mac, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu menyatakan hasrat mahu menjadi anggota Pakatan Harapan dengan semangat memperkukuhkan pakatan pembangkang.

Pada 20 Mac Majlis Presiden Pakatan Harapan bersedia menerima hasrat Bersatu menjadi anggota dengan menetapkan logo bersama, manifesto bersama dan pendaftaran Pakatan Harapan.

Pada 21 Mac jawatankuasa teknikal bawah sekretariat Pakatan Harapan menjemput Bersatu untuk perbincangan gerak kerja bersama.

Perkembangan dari satu tahap ke satu tahap yang mengisyaratkan keazaman Pakatan Harapan untuk maju di sebalik perbezaan adalah tanda awal kepada kejatuhan Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

‘Keselesaan sementara’ BN dengan berkuburnya Pakatan Rakyat (PR), kini berubah menjadi mimpi ngeri apabila parti-parti dalam Pakatan Harapan muncul lebih kuat dari trauma tahun 2014.

Tanpa PAS, hasrat menguborkan PR terbukti gagal dengan kemunculan Pakatan Harapan yang ada anggota baru.

Pakatan Harapan hanya perlu bersiap untuk segala keperluan memasuki PRU akan datang dan memandangkan kepada semangat yang ada, fokus mengakhiri kebobrokan dan kerakusan politik pemerintah BN akan menjadi senarai teratas perancangan.

Syabas kerana rakyat bukan sahaja menilai keruntuhan politik kuno Umno-BN mereka juga menilai bagaimana pembangkang mengurus diri mereka untuk meyakinkan mereka keutuhan pembangkang.

Setakat ini Pakatan harus terus meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia dengan langkah awal mengukuhkan permuwafakatan mereka.

Tidak syak lagi momentum terbina sejak era Reformasi DSAI disambut oleh parti politik kecuali mereka yang sempit agendanya.

Tun M menyambut dengan salam perdamaian kepada tokoh reformasi negara DSAI dan Pakatan Harapan membalas dengan menerima Bersatu sebagai anggota Pakatan Harapan bagi meneruskan bahtera merdeka SELAMATKAN NEGARA!

>> Komentar bebas Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa I 25 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *