Penyelewengan tanah Bumiputera sudah jadi asam garam Umno Johor – Hassan Karim

KEADILAN Johor mempertikai kepimpinan Kerajaan Umno Johor yang diterajui Datuk Seri Khaled Nordin dalam melindungi hak pemilikan hartanah Bumiputera.

Ini kerana kes curi dokumen dari ‘bilik kebal’ Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor tidak seharusnya berlaku. Ia tentunya menjejaskan hak tanah rakyat dan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, Kerajaan Johor harus memberi penjelasan jitu, bukan sekadar beri alasan rapuh iaitu ‘serahkan kes itu kepada polis’ semata-mata. Menteri Besar harus meningkatkan keyakinan rakyat yang semakin lenyap akibat skandal rasuah.

Ini kerana banyak persoalan timbul lantaran bilik kebal yang penuh dokumen penting tidak dijaga dengan baik. Tentunya, rakyat berhak berasa curiga dan mengesyaki ada sesuatu yang tak kena.

Apatah lagi ia terjadi ketika siasatan sedang berjalan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi. Rakyat juga pasti tertanya-tanya dengan penemuan 150 beg tangan jenama mewah yang dirampas SPRM pada serbuan di rumah exco tersebut.

Rentetan kejadian ini mendedahkan tembelang UMNO dalam urusan hartanah Bumiputera yang terbongkar satu demi satu. Dan, apabila ia membabitkan anak pemimpin negeri. Ini amat memalukan!

(Skandal tanah di Johor mula terbongkar selepas SPRM menahan enam lelaki termasuk seorang anak exco pada 25 Februari lalu kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan harta tanah di negeri berkenaan)
Penyelewengan seolah-olah asam garam kepada pimpinan Umno Johor.

Ini sekaligus bertentangan reputasi palsu mereka sebagai kononnya ‘pembela’ orang Melayu.

Perbuatan menggadai status hartanah Bumiputera demi keuntungan peribadi hanya mengabsahkan UMNO sebagai Parti ‘penggadai’ tanah rizab Melayu.

Inikah punca jumlah keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang, hanya 11.99 peratus berbanding jumlah yang diperuntukkan iaitu 50 peratus?

Dengan lambakan rekod rasuah dan penyelewengan semakin teruk, adakah slogan ‘Hidup Melayu’ bermaksud melindungi elitis UMNO yang melakukan penyelewengan?

HASSAN KARIM
Pengerusi KEADILAN
Negeri Johor
16 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *