MP Sepang saran kerajaan tiru sistem ‘pertuduhan pemecatan’ Korea Selatan, boleh dijadikan model

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan Malaysia mencontohi sistem “pertuduhan pemecatan” yang diguna pakai beberapa negara lain, termasuk Korea Selatan.

Peguam itu berkata, Perlembagaan Persekutuan atau Perintah Tetap Parlimen boleh dipinda bagi memasukkan peruntukan itu.

“Ada banyak negara yang boleh ditiru, seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari semalam.

“Pertuduhan pemecatan” adalah proses pendakwaan terhadap pemimpin tertinggi negara melalui undi ahli Parlimen, sebelum dibawa ke mahkamah khusus, lapor FMT.

Lazimnya, pemimpin ke-2 tertinggi akan mengambil alih kedudukan pemimpin negara yang dipecat, berbeza dengan undi tidak percaya yang memberi peluang mana-mana pemimpin yang meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Hanipa memberi contoh sistem di Korea Selatan yang menyaksikan pemecatan Park Geun Hye daripada jawatan presiden selepas terpalit skandal rasuah.

“Beliau masih diberi peluang membela diri dan membuat periksa balas terhadap saksi yang memberikan keterangan.

“Malah, selepas itu, Mahkamah Perlembagaan masih perlu mengesah atau menolak keputusan Parlimen. Ini menunjukkan model Korea Selatan ini adil dan boleh dijadikan model,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, mahkamah di Korea Selatan mengekalkan keputusan Parlimen untuk mendakwa Park, dengan 234 daripada 300 ahli Parlimen menyokong.
Hanipa berkata, tidak salah mencontohi undang-undang negara lain kerana ini bukan kali pertama Malaysia berbuat demikian.

“Undang-undang tanah kita berdasarkan sistem Torrens dari Australia, dan Kanun Keseksaan kita 100% sama dengan India,” kata ketua Biro Undang-undang AMANAH itu.

Beliau berharap langkah itu dapat mengukuhkan Parlimen sebagai mekanisme “semak dan imbang”.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *