Tony Pua dakwa Putrajaya selamatkan 1MDB, ambil alih hutang sebanyak RM3.2 bilion

KUALA LUMPUR: Tony Pua mendakwa Putrajaya “menyelamatkan 1MDB” dengan RM3.2 bilion melalui pengambilalihan hutang yang dikaitkan kepada aset di bawah syarikat itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, perkara tersebut didedahkan dalam jawapan menteri kewangan kepada soalan yang ditanya di Dewan Rakyat minggu lepas.

“Saya minta menteri kewangan senaraikan aset hartanah 1MDB yang diambil alih oleh kementerian kewangan dan jumlah yang dibayar untuk aset tersebut.

“Saya juga tanya adakah kementerian kewangan mengambil alih pinjaman yang dikaitkan kepada aset tersebut termasuk, RM800 juta daripada Socso dan RM2.4 bilion bon sukuk,” kata Tony, menambah beliau hanya mengharapkan jawapan “ya” atau “tidak” dalam soal keseluruhan pinjaman yang diambil alih kementerian, jika ada.

Sebaliknya, Tony berkata menteri memberi jawapan berbelit-belit yang meletakkan kesalahan bagi pengambilalihan seperti itu pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Berkenaan bahagian kedua soalan itu, menteri kewangan mengalihkan tanggungjawab kepada PAC dengan memetik halaman 81 laporan PAC.

“Halaman 81 menyatakan RM800 juta yang dipinjam dari Perkeso oleh TRX City Sdn Bhd dan RM2.4 bilion bon sukuk oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd akan diurus dan terus ditanggung oleh aliran tunai dari projek TRX dan Bandar Malaysia,” kata Tony dalam kenyataan hari ini.

Jawapan itu, kata Tony, mendedahkan kementerian kewangan juga menyerap hutang yang dikaitkan dengan aset yang diambil alih.

“Ini bermakna Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berbohong kepada media apabila mengatakan tiada rancangan untuk mengambil alih hutang 1MDB dalam pengambilalihan aset itu,”

“Saya kemudian periksa salinan Laporan PAC kerana saya tidak ingat syor seperti itu.”

“Perkara itu sah kerana kenyataan pada halaman 81 itu sebenarnya cadangan daripada 1MDB kepada PAC dan bukannya syor daripada PAC,” kata Tony.

Menjelaskan dakwaannya, Tony berkata transaksi tersebut menunjukkan “Malaysia dirogol dua kali” kerana tanah terlibat “dijual” Putrajaya kepada 1MDB pada harga rendah.

“Tanah TRX seluas 70 ekar dijual pada harga RM64 kaki persegi atau RM194 juta, sementara tanah Bandar Malaysia seluas 486 ekar dijual pada harga RM72 kaki persegi atau RM1.67 bilion.

“Akan tetapi, 1MDB menjual sebahagian TRX kepada Tabung Haji dan Affin Bank milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera pada harga RM2,700 kaki persegi dan RM4,500 kaki persegi. Secara keseluruhannya, 30.5 ekar tanah TRX dijual pada harga RM3.5 bilion.

“Dalam masa yang sama, 40% daripada Bandar Malaysia dijual pada harga lebih RM1,000 kaki persegi. Hasil daripada jualan itu disalurkan kepada 1MDB untuk melangsaikan hutang yang tiada kaitan dengan divisyen hartanahnya,” kata Tony.

Beliau menambah rakyat terpaksa membayar 2 kali, apabila kementerian kewangan mengambil semula baki aset daripada 1MDB, bersama hutang RM3.2 bilion.

Tony percaya perkara ini punca bekas menteri kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah meletak jawatan pada Jun tahun lepas.

“Usaha menyelamat yang berlaku hari ini sangat mengejutkan — dan ini hanya menyentuh transaksi hartanah sahaja.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *