Rosmah diminta letak jawatan, gagal memahami maksud akauntabiliti terhadap dana awam

SUBANG: Adun Damansara Utama berkata, Datin Seri Rosmah Mansor perlu meletak jawatan sebagai penaung Program Permata Negara jika beliau tidak memahami maksud akauntabiliti terhadap dana awam.

Yeo Bee Yin berkata, usaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai agensi kerajaan yang menggunakan wang pembayar cukai bukan agenda “mempolitikkan” sesuatu, tetapi ia penelitian awam dan akauntabiliti.

“Beliau nampaknya lupa, dana awam digunakan untuk melaksanakan program Permata datangnya daripada rakyat Malaysia yang membayar wang titik peluh mereka sebagai cukai pada Putrajaya.

“Jadi rakyat Malaysia berhak untuk tahu bagaimana program Permata dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Yeo sebelum ini mendesak Permata mendedahkan akaun program itu, manakala Pakatan Harapan pula menuntut beberapa badan, termasuk Permata dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri pada 14 Mac lalu, menyeru orang ramai supaya tidak mempolitikkan program Permata dan jangan meragui program itu, termasuk sumber kewangannya.

“Ia tidak ada kaitan politik. Kita tidak pernah tanya bapa anda parti apa? Parti ini boleh masuk, parti itu tidak boleh masuk. Tidak.

“Kita tidak pernah lakukan perkara seperti itu. Program Permata untuk pendidikan awal kanak-kanak di bawah 4 tahun dan mereka daripada latar belakang kurang berkemampuan,” kata Rosmah.

Yeo berkata, tidak ada sesiapa mempersoalkan betapa pentingnya pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, tetapi tidak perlu menggunakan agensi berasingan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri sebagai penaung.

“Kami cadangkan banyak kali, program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak patut diletakkan di bawah kementerian penuh yang berkenaan kerana ada peralatan lebih lengkap dan individu berpengalaman dalam bidang itu,” katanya.

Beliau berkata, contohnya ialah penjagaan kanak-kanak pada masa ini ialah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jadi apa salahnya jika program Permata diletakkan di bawah kementerian itu.

“Program Permata yang lain juga bertindih dengan peranan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah.

“Maka, jika Rosmah benar-benar mahu yang terbaik untuk kanak-kanak di Malaysia, maka dia perlu menyerahkan pembangunan awal kanak-kanak kepada kementerian yang pakar dalam melaksanakannya,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *