Pemegang ijazah kelas dua perlu bayar pinjaman PTPTN tegas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

DEWAN RAKYAT: Kerajaan tidak akan memperluaskan pengecualian bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang mendapat ijazah kelas dua atas, seperti yang dinikmati pemegang ijazah kelas pertama ketika ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

“Kementerian buat masa ini masih belum bercadang meluaskan skop pengecualian bayaran balik, terutama kepada yang mendapat kelas kedua atas,” kata Datuk Dr Mary Yap Kain Ching ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Umno-Jasin) berhubung pinjaman PTPTN di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, setakat 31 Disember 2016, seramai 41,7056 pemegang ijazah kelas pertama menikmati pengecualian itu yang membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.23 bilion.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf pelajar cemerlang, tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga,” katanya.
PTPTN memperkenalkan dasar itu sejak 2003.

Untuk soalan tambahan, Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) meminta kerajaan menjelaskan kelewatan memberi pinjaman kepada pelajar dan adakah kerajaan akan memberi pengecualian khas untuk peminjam yang disenaraihitamkan daripada ke luar negara, seperti menunaikan haji atau umrah.

Yap berkata, PTPTN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan dalam memastikan kelayakan pemohon.

“Ini penting untuk mengelakkan berlakunya pemberian (pinjaman kepada) pelajar yang tidak layak, seperti mendapat CGPA (gred kumulatif terkumpul) kurang 2.00 dan berhenti daripada universiti,” katanya.

Mengenai pengecualian untuk haji dan umrah, beliau berkata, peminjam sentiasa dialu-alukan berunding dengan PTPTN untuk membuat penstrukturan semula bayaran.

“Ia mengikut kemampuan bayaran balik sehingga usia 60 tahun. Di pihak pelajar pula, mereka mesti bekerjasama dengan PTPTN untuk membantu diri sendiri.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *