Kit Siang bidas Presiden Pas isu tolak RUU 355, adakah pemimpin Sarawak juga anti-Islam?

DEWAN RAKYAT: Jika semua penentang usul Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang meminda akta syariah sebagai anti-Islam, adakah pemimpin Islam Sarawak juga penentang agama?

Itu soalan yang diajukan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini, menasihatkan Hadi (Pas-Marang) supaya bersikap matang dan menjadi rakyat Malaysia sejati.

Beliau menghentam Hadi kerana menganginkan DAP sebagai parti anti-Islam kerana enggan menyokong rang undang-undang peribadi (RUU) mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“Usul nombor 7 mengenai RUU Presiden Pas. Presiden Pas kata jika kamu tak bersetuju, maka kamu anti-Islam.

“Jadi, adakah Ketua Menteri Sarawak anti-Islam? Beliau mengarahkan semua 25 ahli Parlimen Sarawak, termasuk 4 menteri Islam, tolak RUU itu.”

Beliau merujuk kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg, yang mengulangi pendirian Ketua Menteri terdahulu, Tan Sri Adenan Satem, berhubung usul Hadi.

Adenan mengulangi pendirian Sarawak menolak pelaksanaan undang-undang hudud.

“Adakah mereka anti-Islam?” soal Kit Siang.

Para ahli Parlimen di Dewan Rakyat petang semalam sebulat suara menjawab “tidak”. Kit Siang mengakhiri soalannya dengan “tidak”, dan menyeru sikap melabel seseorang sebagai musuh kaum atau agama dihentikan.

Perubahan diri itu perlu jika negara berhasrat membentuk sebuah “bangsa Malaysia”, tambahnya.

“Cukuplah bercakap mengenai anti-Melayu, anti-Cina, anti-Islam atau anti-Kristian. Kita mesti untuk semua kaum dan agama.

“Presiden Pas mesti bersikap matang, jadi seorang rakyat Malaysia.”

Hadi bukan orang pertama melabel DAP anti-Islam kerana tidak menyokong usulnya, yang mahu meningkatkan kadar hukuman mahkamah syariah.

Bulan lepas, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin melabel DAP anti-Islam dan menuduh parti itu enggan menegakkan Islam.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan parti Islam bekerjasama dengan Umno kerana parti Melayu itu masih boleh diharapkan berbanding parti “anti-Islam” yang lain.

Pindaan yang dicadangkan usul Hadi itu mahu, antara lain, meningkatkan hukuman maksimum bagi kesalahan yang dinyatakan dalam akta, daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 sehingga RM100,000 dan 6 sebatan sehingga 100 sebatan.

Selain DAP, pengkritik usul kontroversi itu termasuk komponan parti BN seperti MCA dan Gerakan, serta sesetengah aktivis Islam.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *