Pamer label, berus babi yang dirampas akan dipulangkan kepada kedai – Menteri KPDNKK

DEWAN RAKYAT: Pihak berkuasa hanya akan memulangkan berus bulu babi yang dirampas kepada kedai yang mempamerkan label memaklumkan pembeli mengenai penggunaan bahan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tempoh pembekuan sementara penguatkuasaan selama sebulan yang tamat 9 Mac lalu memberikan peluang kepada peniaga meletakkan label.

“Bagi kedai yang mematuhi arahan itu, barang yang dirampas akan dipulangkan. Bagi yang tidak, ia akan digunakan sebagai bukti untuk tindakan susulan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) dan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berhubung operasi bulan lalu yang mencetuskan kontroversi.

Ops Berus menyerbu 157 premis di seluruh negara dan menyita 2,003 berus bulu babi bernilai RM10,988.94.

Kementerian bagaimanapun menghentikan operasi itu selama sebulan bermula 9 Feb bagi memberi masa peniaga menggunakan label bagi produk bulu binatang yang dijual.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut menggesa setiap peniaga mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang Diperbuat Daripada Mana-mana Bahagian Babi Atau Anjing) 2013 yang menggariskan barangan tersebut dipamer berasingan dan dilabel.

Katanya, peniaga perlu menggunakan label yang jelas iaitu “Diperbuat Daripada Babi” dan “Diperbuat Daripada Anjing”.

“Itu sahaja yang kita minta. Ia tepat dengan konsep maslahah umum bagi mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Katanya, Malaysia mengambil pandangan mazhab Shafie yang mengharamkan penggunaan babi secara menyeluruh.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-12 pada 1985 memutuskan penggunaan berus bulu babi adalah haram.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *