Pemuda DAP Johor dakwa Umno-BN sendiri yang khianat Bangsa Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sepatutnya berani dan menggunakan kesempatan Mesyuarat Dewan Negeri untuk memperjelaskan isu pelepasan unit kuota Bumiputera.

Khaled tidak sepatutnya bersembunyi di sebalik Peraturan Mesyuarat sehingga menyebabkan Adun Pekan Nenas diarah keluar Dewan.

Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong bertindak berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan untuk membawakan satu rundingan tergempar supaya menteri besar memberikan penjelasan mengenai dua kenyataan beliau yang bercanggah sebelum ini.

Rundingan tergempar yang dibawa oleh Yeo Tung Siong ini turut disokong oleh 10 Adun lain selaras dengan kehendak Peraturan Mesyuarat.

Seperti kebiasaan dalam mana-mana amalan Dewan Legislatif, speaker mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sesuatu rundingan (usul) yang dibawakan oleh Ahli Dewan dan keputusan Speaker adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Saya tidak mempunyai masalah dengan kuasa Speaker dalam insiden ini.

Cuma yang menjadi persoalan saya adalah keengganan Menteri Besar untuk memberikan penjelasan lanjut sama ada 4,503 unit seperti yang dijawab oleh beliau dalam sesi Mesyuarat Dewan Negeri April 2016 atau 3,000 unit Bumiputera telah dilepaskan seperti yang telah beliau nyatakan kepada media pada bulan Mac 2017.

Masakan dalam tempoh kurang lebih setahun ini boleh terdapat dua statistik yang begitu kontra antara satu sama lain.

Kenapa menteri besar tidak mahu meminta kebenaran Speaker untuk menjelaskan perkara ini. Ia amat penting dan melibatkan kepentingan rakyat khusus Bumiputera?

Apa lagi yang mahu disorokkan sebenarnya? Ruang penjelasan yang sebenarnya adalah di dalam Dewan Negeri Johor.

Umno-BN selama ini kononnya jaguh mempertahankan hak Melayu/Bumiputera tetapi bersikap acuh tak acuh dalam isu skandal penyelewengan pelepasan kuota Bumiputera ini.

Skandal hartanah Johor ini juga bukan sekadar isu penyelewengan pelepasan kuota Bumiputera tetapi juga turut melibatkan skandal penipuan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Ia bukan isu terpencil. Ini isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat secara langsung. Saya sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri untuk membuat penilaian semula kesemua dasar mereka untuk meminimakan potensi berlakunya penyelewengan dan manipulasi.

Keengganan Khaled Nordin menjelaskan di Dewan Negeri sebenarnya menyerlahkan hipokrasi Umno/BN.

Bangsa Johor perlu sedar slogan Mempertahankan Hak Melayu dan Bumiputera itu hanya satu retorik bagi meraih sokongan semata-mata. Realitinya mereka hanya mempergunakan retorik itu untuk poket mereka sendiri sahaja.

>> Komentar bebas Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor, Ahmad Anwar Asyraf I 13 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *